Pantai Batu Laut, Kuala Langat antara lokasi sesuai untuk aktiviti perahu layar dan sering dijadikan lokasi penganjuran pertandingan sukan berkenaan. Lokasi ini turut dilengkapi dengan pusat latihan sukan perahu layar dan kemudahan awam. Foto Arkib Selangorkini
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

300 atlet perahu layar dalam, luar negara berentap di Pantai Batu Laut 15 Disember

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 8 DIS: Seramai 300 atlet dalam dan luar negara dijangka menyertai Kejohanan Perahu Layar Terbuka Kebangsaan 2022 di Pantai Batu Laut, Kuala Langat mulai 15 hingga 18 Disember.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkata acara tahunan itu menjadi medan buat atlet muda sukan berkenaan menimba pengalaman dan pendedahan.

“Kejohanan ini merupakan penutup bagi sukan pelayaran bagi 2022 dan menjadi penentu ranking kebangsaan atlet-atlet sukan tersebut.

“Kejohanan ini juga memberikan peluang kepada Persatuan Perahu Layar di seluruh negara memberi pendedahan dan pengalaman kepada atlet muda mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kejohanan kali ke-37 anjuran MPKL dan Persatuan Perahu Layar Malaysia turut mendapat kerjasama Persatuan Pelayaran Selangor, Majlis Sukan Negara dan Milo.

Pelbagai kategori dipertandingkan merangkumi kelas Optimist, ILCA dan Windsurfing yang terbahagi kepada peserta dewasa yang lahir tahun 2005 ke atas (lelaki, wanita) dan remaja (lelaki, perempuan).

MPKL juga optimis penganjuran kejohanan berkenaan menarik lebih ramai pengunjung ke Pantai Batu Laut sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

“Orang ramai dijemput hadir memberikan sokongan kepada para peserta pada hari pertandingan,” katanya.

 


Pengarang :