Orang ramai memilih barangan dapur dalam program Jelajah Ehsan Rakyat di Taman Puncak Jalil pada 15 Disember 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

300 papan telur habis kurang sejam di jualan murah DUN Kinrara

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

PETALING JAYA, 15 DIS: Sebanyak 300 papan telur habis terjual dalam masa kurang satu jam pada Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara, hari ini.

Penolong Pengurus Jualan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohd Firdaus Masori berkata telur dan ayam antara barangan asas paling laris pada setiap kali jualan.

“Kali ini di DUN Kinrara sebanyak 300 papan telur disediakan selain itu, ayam (600 ekor) daging pejal (200 pek), ikan (300 pek), beras (300 kampit) dan minyak masak 5 kg (240 botol).

“Telur memang dihadkan satu papan setiap orang supaya 300 pengunjung terawal dapat membelinya,” katanya ditemui pada jualan barangan asas murah di Taman Puncak Jalil, hari ini.

Pengunjung tidak melepaskan peluang membeli barangan asas pada harga murah sempena Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara di Taman Puncak Jalil pada 15 Disember 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Katanya, pada program kali ini juga barangan kering keluaran jenama Ehsan PKPS turut dijual seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tomato, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering dan cili giling.

“Semua barangan ini dijual pada harga RM0.30 hingga RM0.50 lebih murah daripada harga pasaran,” katanya.

Jelajah jualan murah itu menyediakan barangan asas seperti ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :