EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud menyampaikan bantuan kepada Nurul Azhar Norrin , 36 dan anaknya Muhammad Darwish Danial Nurul Azhar, 11 di Majlis Penyerahan Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS) 2022 turut bersama Pengurus Besar YAWAS, Gan Pei Nei ( berdiri dua dari kiri) di Foyer SUK, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam pada 14 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN / SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

372 terima bantuan khas AnIS sejak Januari, babit peruntukan RM756,770

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 14 DIS: Sebanyak 372 individu menerima Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (AnIS) 2022 sejak Januari hingga hari ini membabitkan peruntukan sebanyak RM756,770.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siri Mariah Mahmud berkata ia membabitkan 303 penerima bantuan pendidikan berjumlah RM605,750 dan 69 penerima bantuan peralatan atau barangan sebanyak RM151,020.

“Tahun ini masuk tahun kelima Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif Pemberian Bantuan Khas kepada anak istimewa Selangor.

“Kerajaan Negeri amat prihatin dengan kos yang perlu ditanggung oleh ibu bapa dan penjaga kepada anak istimewa termasuklah bagi menampung perbelanjaan pendidikan, kos terapi, pembelian peralatan sokongan serta ubat-ubatan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Khas AnIS di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini yang menyaksikan seramai 41 penerima mendapat bantuan.

Dr Siti Mariah berkata sejak 2018 hingga kini Bantuan Khas AnIS telah mencapai lebih 1,500 penerima bantuan.

“Sebahagian besar penerima bantuan adalah dalam kalangan pemohon subsidi yuran pembelajaran di pusat intervensi yang kini menjadi pilihan utama ibu bapa mempunyai anak dengan masalah pembelajaran.

“Impak program ini kepada penerima bantuan khususnya golongan kurang berkemampuan di Selangor adalah membantu meringankan beban tanggungan menampung kos perbelanjaan anak orang kurang upaya (OKU) sama ada daripada segi kos pendidikan atau peralatan khas mereka,” katanya.

Bantuan khas tersebut diberikan secara sekali bayar dengan had maksimum sehingga RM5,000 bagi satu keluarga dan terbuka kepada anak istimewa berumur 18 tahun ke bawah.


Pengarang :