Kakitangan PKPS membuat persiapan sebelum memulakan jualan sempena program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Sungai Kandis di Pangsapuri Taman Tun Teja, Shah Alam pada 22 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

500 ayam, 200 papan telur habis dalam sejam di jualan murah DUN Bukit Gasing

Oleh SHAMZ JOHAN

PETALING JAYA, 20 DIS: Sebanyak 500 ekor ayam dan 200 papan telur habis dalam tempoh sejam pada program jualan murah Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing di Flat Gasing Indah, pagi tadi.

Pengerusi Persatuan Penduduknya Kamarulzaman Razali berkata jualan murah kali empat dilokasi berkenaan sememanganya dinantikan dan penduduk mula beratur sejak 8.30 pagi

“Maklumbalas penduduk sangat positif, mereka sudah beratur awal dan menjelang jam 11 pagi, ayam dan telur habis terjual.

“Kita sudah buat hebahan melalui WhatsApp Penduduk dan penduduk mahu jualan murah ini terus diadakan disini lagi pada masa hadapan,” katanya ditemui Selangorkini.

Terdahulu jualan murah kelolaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di sini mendapat sambutan memberangsangkan dengan kehadiran hampir 2,000 pengunjung.

Pegawai Pejabat DUN Bukit Gasing Mohd Razman Bakri selaku penyelaras program berharap supaya lokasi jualan di DUN berkenaan diperluas bagi memastikan lebih ramai menerima manfaat.

“Kita harap lokasi dapat ditambah dalam DUN Bukit Gasing ini kerana banyak permintaan (penduduk). Kali ini pun, banyak barang habis awal seperti telur yang menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan stok mereka,” katanya.

Pengunjung Hanifah Kasbullah, 69, pula terharu dan bersyukur atas inisiatif Kerajaan Negeri menawarkan barangan asas berkualiti pada harga berbaloi sekali gus membantu meringan beban rakyat.

“Saya rasa sangat terharu dengan inisiatif Kerajaan Negeri, terima kasih juga kepada Dato’ Menteri Besar kerana anjur program yang membantu rakyat susah seperti kami,” katanya.

Petugas jualan PKPS menyusun barangan keluaran jenama Ehsan PKPS ketika Jualan Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing di Flat Gasing Indah, Petaling Jaya pada 20 Disember 2022. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

Pelbagai barangan asas seperti ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10) dijual pada program tersebut.

Selain itu, jelajah siri kedua kali ini juga menawarkan barangan kering jenama Ehsan PKPS yang dijual seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tiram, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering dan cili giling.

Pada 13 Disember, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklum peruntukan antara RM10 hingga RM15 juta bagi meneruskan program itu selama tiga bulan mulai 15 Januari.

Beliau menjelaskan jelajah siri kedua yang menawarkan produk harga lebih rendah daripada pasaran memanfaatkan kira-kira 800,000 penduduk.


Pengarang :