Pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM) menjalankan kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat pada 2 Januari 2022. Foto Facebook KDEBWM
AGENSISELANGOR

600 pegawai, kakitangan KDEBWM siap sedia urus tugas pascabanjir

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 12 DIS: Seramai 600 pegawai dan kakitangan KDEB Waste Management (KDEBWM) bersiap sedia menjalankan operasi membersih pascabanjir di Selangor.

Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata kesemua mereka ditugaskan di 12 bilik gerakan pascabanjir yang dibuka di setiap daerah dengan setiap bilik gerakan mempunyai 50 petugas.

“Sekiranya berlaku banjir kita ada 1,200 lagi kakitangan di lapangan yang akan melakukan tugas-tugas pembersihan antaranya mengutip sampah pukal.

“Kita juga telah pastikan 500 lori RORO, backhoe, excavator dan lori panjang sentiasa bersiap sedia untuk digunakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Ramli, pihaknya juga memastikan longkang di kawasan perumahan di negeri ini dibersihkan mengikut jadual tanpa mengira sama ada kawasan tersebut terlibat banjir atau tidak.

“Kita juga telah menumpukan pembersihan longkang kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25 kerana sebelum ini banjir di situ lambat surut,” katanya.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) semalam mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat di Selangor melibatkan tiga daerah sekiranya hujan lebat berterusan.

Daerah tersebut adalah Sepang, Petaling dan Klang yang dijangka berdepan keadaan itu dalam tempoh 24 jam.


Pengarang :