Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada penerima program Iltizam Selangor Sihat (ISS) sempena Jelajah Selangor Penyayang (JSP) di Stadium Utama Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN

83,537 penduduk dapat manfaat program kesihatan negeri

SHAH ALAM, 7 DIS : Seramai 83,537 penduduk negeri ini direkodkan sebagai ahli aktif Iltizam Selangor Sihat (ISS) setakat ini, dengan 405 permohonan lagi sedang diproses.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setiap permohonan mengambil masa antara enam hingga 10 hari untuk diluluskan jika dokumen dikemukakan lengkap.

“Untuk (permohonan) yang tidak lengkap (mengambil masa) hampir sebulan proses dan sebahagian makluman kita terima perlu semak balik kerana ada masalah dokumentasi.

“Pihak Selcare Management akan menambah baik dari semasa ke semasa dan berusaha mengurangkan tempoh proses kelulusan dan pengaktifan program ISS ini untuk satu tempoh munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan Selangor 2023 dalam sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex di sini semalam.

Sebelum ini, Amirudin mengumumkan penerima ISS bakal mendapat bantuan rawatan asas sehingga RM500, perlindungan insurans sehingga RM5,000 serta khairat kematian RM1,000.

Selain rawatan dan perubatan, Kerajaan Negeri turut menawarkan suntikan vaksin bagi memastikan lebih ramai rakyat Selangor mendapat perlindungan sebaiknya.

ISS merupakan program perlindungan kesihatan rakyat yang ditambah baik menggantikan skim insurans sedia ada.


Pengarang :