Sebahagian daripada graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang hadir menerima skrol pada hari terakhir Istiadat Konvokesyen UiTM ke-95 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam pada 10 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

85 peratus graduan UiTM jadi pilihan majikan selepas tamat pengajian

SHAH ALAM, 10 DIS: Kira-kira 85 peratus graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendapat tawaran pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, kata Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Janor.

Beliau berkata antara pengkhususan yang menyumbang kebolehpasaran yang tinggi itu melibatkan bidang pergigian, farmasi, pengurusan dan perakaunan serta sains komputer iaitu 90 peratus.

“Namun hospitaliti merupakan antara bidang yang mencabar dari segi kebolehpasaran susulan keadaan pandemik COVID-19 kini.

“Tapi sekarang kita kini sudah laksanakan banyak inisiatif bagi meningkatkan kebolehpasaran antaranya mengadakan memorandum persefahaman (MoU) dengan hotel dalam dan luar negara bagi membantu pelajar mendapat pendedahan apabila mereka bekerja kelak,” katanya selepas sidang terakhir Istiadat Konvokesyen UiTM ke-95 bagi sesi Semenanjung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), hari ini.

Dalam perkembangan lain, Roziah berkata UiTM turut dianugerahkan dengan dua pengiktirafan iaitu ‘Jumlah Skrol Terbanyak Dalam Istiadat Konvokesyen’ dan ‘Bilangan Skrol Tertinggi Yang Disampaikan Oleh Naib Canselor’ sempena istiadat berkenaan.

Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor (tengah) bergambar bersama wakil Malaysia Book of Records Siti Nurhanim Mohd Noh (kanan) selepas UiTM mencatat sejarah dalam dua pengiktirafan pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-95 di UiTM Shah Alam pada 10 Disember 2022. Foto BERNAMA

Roziah berkata kedua-dua pengiktirafan itu diperakui oleh Malaysia Book of Records apabila 31,220 graduan menerima skrol masing-masing sempena istiadat konvokesyen berkenaan.

“Satu lagi pengiktirafan adalah seramai 15,322 graduan menerima skrol ijazah dan diploma mereka daripada Naib Canselor UiTM,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :