Antara persembahan Program Rentak Selangor di Warisan Hall Studio Sijangkang, Kuala Langat pada 28 Februari 2021. Foto Facebook Rentak Selangor
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Acara Rentak Selangor diteruskan, cungkil bakat dan keunikan seni

SHAH ALAM, 2 DIS: Program persembahan seni dan budaya masyarakat Rentak Selangor diteruskan tahun depan bagi memartabatkan identiti negeri, kata EXCO kebudayaan dan warisan.

Borhan Aman Shah berkata acara tersebut juga berjaya mencungkil bakat termasuk menghidupkan semula pelbagai keunikan serta kepelbagaian seni yang telah dilupakan sebelum ini.

“Sejak Rentak Selangor diperkenalkan, program ini telah berjaya mencungkil bakat dan membongkar keunikan dan kepelbagaian seni yang masih diamalkan di negeri ini namun tidak mendapat liputan atau pun dilupakan buat satu jangka masa yang lama.

“Antara program aktiviti seni yang berjaya dicungkil ialah seni kebudayaan Barongan dan Kuda Kepang di Kampung Sungai Panjang, Sabak Bernam selain keunikan kumpulan gendang ‘Chinna Rasa Urumee Melam Masana Kali’ daripada etnik India.

“Susulan itu, kita menyambut baik cadangan mengembalikan semula program Rentak Selangor dan sudah pasti pencarian bakat serta kegiatan kumpulan seni budaya lain akan menjadi keutamaan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Belanjawan 2023 di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Program Rentak Selangor diperkenalkan sejak 2016 sebagai usaha menyemarak seni, budaya dan warisan dengan menyediakan landasan persembahan.

Ia turut menyediakan ruang kepada tokoh warisan budaya dan penggiat seni budaya dari pelbagai komuniti di Selangor untuk berkongsi ilmu.

Program itu menjadi platform anak untuk seni untuk membuat persembahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Pengarang :