Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyaksikan kanak-kanak bermain catur dalam Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

ADN dan swasta digesa taja, sukan tradisional bantu perkembangan kanak-kanak

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 10 DIS: Ahli Dewan Negeri dan pihak swasta disaran menaja permainan tradisional bagi membantu merangsang perkembangan kanak-kanak, kata Datin Paduka Mastura Muhamad.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu berkata Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 bukan sekadar memupuk budaya membaca malah turut menyediakan aktiviti membina kreativiti dan sosial masyarakat.

Beliau berkata aktiviti pengisian disediakan sepanjang SIBF seperti kelas menjahit, permainan tradisional antaranya congkak, sepak takraw, catur dan damak (dart) membantu perkembangan kemahiran motor (pergerakan) serta interaksi kanak-kanak.

Datin Paduka Mastura Muhamad ditemu bual Selangorkini ketika Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam. pada 5 Dismember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Dengan sertai permainan congkak contohnya, kita menggalakkan mereka berinteraksi dengan peserta lain. Kalau bandingkan dengan e-sukan, selalunya anak-anak ini tenggelam dalam dunia sendiri dan tak pedulikan keadaan sekeliling.

“Sebab itu kita minta ADN dan swasta taja permainan tradisional sama seperti e-sukan. Jika tawar hadiah RM500 untuk pertandingan congkak sudah pasti tarik minat kanak-kanak,” katanya kepada SelangorKini.

Mastura berkata persepsi ibu bapa terhadap sukan tradisional perlu diubah kerana ia juga mampu menjana pendapatan seperti mana penglibatan dalam e-sukan.

Malah katanya, permainan itu juga mampu meningkat kemahiran kanak-kanak dan bergerak aktif dalam kehidupan.


Pengarang :