Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barang keperluan asas pada harga murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat di Dataran Batu Laut Tanjung Sepat, Kuala Langat pada 31 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN: PKPS digesa laksana jualan murah lebih kerap, tingkat kuantiti produk

KUALA LANGAT, 31 DIS: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) disaran melaksanakan program jualan murah lebih kerap di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan penambahan kuantiti produk.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat berkata program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) bukan untuk keuntungan individu tetapi membantu keluarga susah mendapatkan barangan asas dengan harga murah.

“Saya minta supaya diadakan lebih kerap dan sediakan banyak lagi barang sebab kadangkala ayam tidak cukup, pelanggan pula lebih 500 orang di satu-satu lokasi hingga ada yang pulang dengan tangan kosong.

“Bagaimanapun, mungkin ada peniaga kurang selesa kerana jualan murah ini menjejaskan perniagaan mereka, tetapi setakat ini tiada keluhan daripada mereka di kawasan saya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Tanjung Sepat Borhan Aman Shah. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Mereka tahu jualan ini memberi peluang kepada orang kampung yang berpendapatan di bawah garis kemiskinan untuk beli barang lebih murah,” kata Borhan Aman Shah.

Ditemui selepas program JER mega sempena penutup 2022 di Dataran Pantai Batu Laut, Tanjong Sepat di sini hari ini, beliau berpuas hati dengan sambutan masyarakat pelbagai kaum terhadap program terbabit.

“Alhamdulillah, ramai pengunjung membeli barangan dapur untuk kegunaan mereka sekeluarga. Saya lihat kualiti ayam dan telur termasuk produk asas lain sangat bagus selain kuantiti cukup.

“Tahniah kepada Kerajaan Selangor yang melaksanakan program ini dengan peruntukan belasan juta. Ia sebenarnya satu anjakan yang baik kerana memberi manfaat kepada rakyat,” kata EXCO Kerajaan Negeri itu.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), minyak masak (RM25 sebotol) dan beras lima kilogram (RM10).

Turut dijual barangan kering keluaran jenama Ehsan PKPS seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tomato, kicap, sardin tin, biskut, beras puut, mi kering dan cili giling.

Program bermula September lepas disambung hingga Mac tahun depan susulan sambutan menggalakkan.


Pengarang :