Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tiga, kanan) dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (kanan) berkenan beramah mesra bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat, kanan) dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kanan) selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara pada 24 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong tolak gaji sejak Covid-19 melanda, cakna nasib rakyat

PUTRAJAYA, 14 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah lebih awal tidak mengambil gaji, iaitu sejak Covid-19 melanda negara kerana Seri Paduka cakna dengan keadaan ekonomi yang menekan kehidupan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya nak maklumkan bahawa Tuanku Agong telah menolak gaji sejak Covid-19, lebih awal daripada saya. Baginda tidak menerima sebarang gaji oleh kerajaan sejak Covid-19. Saya ingat eloklah kita beri penjelasan ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Anwar sebelum ini menetapkan pendirian untuk tidak menerima gaji bagi jawatan perdana menteri sebagai langkah memulihkan keyakinan rakyat terutama terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November.

Jemaah Menteri turut bersetuju untuk melaksanakan pemotongan gaji masing-masing sebanyak 20 peratus setiap bulan atas atas semangat keprihatinan terhadap permasalahan yang dihadapi rakyat ketika ini.

Sementara itu, Anwar menyatakan keyakinan pemimpin parti politik Kerajaan Perpaduan akan menyokong usul undi percaya terhadapnya pada persidangan Parlimen 19 Disember ini.

“Ketua parti Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan dan beberapa parti lain telah beri komitmen.

“Insya-Allah, kita dapat teruskan dengan baik…minta doakan sebaiknya,” katanya ketika ditanya sama ada beliau yakin akan memperoleh sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat ketika usul undi percaya itu dibentangkan pada persidangan Parlimen itu, Isnin depan.

Usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar akan menjadi antara agenda utama pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula 19 Disember ini.

Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen, usul itu adalah yang kelapan di bawah aturan urusan mesyuarat.

Anwar semasa sidang media sulung selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lepas berkata satu usul undi percaya akan dibentang dalam persidangan Parlimen pada 19 Disember bagi menamatkan soal keabsahan beliau selaku perdana menteri. – BERNAMA


Pengarang :