EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tengah) bersama Ketua Hakim Syariah Selangor Dato’ Mohammad Adib Husain (kanan) dan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Selangor Salehan Yatim merasmikan majlis perasmian persidangan Komuniti Sulh dan Rakan Sokongan Keluarga Negeri Selangor di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 15 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ahli komuniti Sulh diseru kukuh hubungan, bantu masyarakat perlukan nasihat perundangan syariah

SHAH ALAM, 15 DIS: Ahli komuniti Sulh negeri ini diseru memperkukuh hubungan bagi membantu masyarakat sekeliling yang memerlukan nasihat perundangan syariah.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata kerjasama antara semua komuniti itu selari hasrat Kerajaan Selangor yang mahu cabaran dihadapi masyarakat diatasi dengan semangat kekitaan.

“Sekiranya ada yang memerlukan, Kerajaan Negeri mewujudkan inisiatif Dana Bantuan Guaman Selangor yang tidak terhad kepada kes sivil sahaja tetapi juga kes syariah.

“Inisiatif yang bermula Oktober lalu diperluas tahun depan dengan Dana Bantuan Guaman Syariah bagi isu berkaitan kekeluargaan dan keganasan domestik membabitkan keluarga berpendapatan rendah (B40),” katanya.

Beliau berucap pada Persidangan Komuniti Sulh dan Rakan Bahagian Sokongan Keluarga anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) di Hotel Mardhiyyah di sini hari ini.

Peserta mendengar ucapan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika majlis perasmian persidangan Komuniti Sulh dan Rakan Sokongan Keluarga Negeri Selangor di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 15 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, seramai 150 pimpinan masyarakat Muslim seluruh negeri terdiri daripada imam dan nazir masjid, Biro Helwa (Muslimat) Masjid dan penyelia Pusat Wanita Berdaya dihimpunkan dalam persidangan berkenaan.

Peserta didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran asas berhubung fungsi Mahkamah Syariah, peranan mediasi atau Sulh selain Bahagian Sokongan Keluarga untuk dijadikan panduan kepada orang awam.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Jakess Dato’ Mohammad Adib Husain berkata persidangan tersebut menjadi medium perkongsian ilmu berkaitan Sulh supaya bidang kehakiman dan perundangan mengikut keperluan semasa.

“Medan ini merupakan peluang kepada peserta untuk mengemukakan pandangan dalam menambah baik kualiti ahli komuniti Sulh dan rakan kongsi bagi menghadapi kes semasa yang semakin rumit serta kompleks.

“Diharap persidangan ini dapat mewujudkan jaringan mantap antara mereka dengan mewujudkan landasan kesatuan pemikiran Sulh yang selari bagi menyelesaikan kes,” katanya.


Pengarang :