Skuad Pantas MPK membuat pemantauan fenomena air pasang di sekitar Klang. Foto Facebook MPK
PBTSELANGOR

Air pasang besar di Klang dan Kuala Langat, penduduk diminta berwaspada

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 25 DIS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bersiap siaga menghadapi air pasang besar dengan menggerakkan Skuad Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) bagi memantau fenomena terbabit.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan operasi mulai jam 6 sehingga 9 pagi membabitkan enam kawasan peranginan iaitu Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib dan Pantai Batu Laut.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata pemantauan air pasang besar turut dilakukan di Pantai Morib, Pantai Cunang dan Jeti Tanjung Sepat.

MPKL turut memaklumkan paras air direkodkan adalah setinggi 5.1 meter pada 5.37 pagi.

“Skuad PANTAS dengan enam anggota mendapati semua kawasan pemantauan tidak berlaku limpahan air laut dan semua aset MPKL berada dalam keadaan baik,” katanya.

Sementara itu penduduk daerah Klang diminta berwaspada berikutan fenomena air pasang besar dijangka dari 23 hingga 26 Disember yang mungkin membawa risiko banjir.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) memaklumkan jawatankuasa pengurusan bencana daerah Klang (JPBD) mengingatkan penduduk sentiasa mendapatkan maklumat terkini keadaan cuaca selain mematuhi arahan agensi bertanggungjawab.

“Bilik Gerakan Bencana Daerah Klang dibuka mulai 16 hingga 19 Disember dan 23 hingga 26 Disember 2022,” katanya menerusi Facebook.


Pengarang :