Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan ujian pensampelan di jambatan Sungai Pajam pada 2 Disember 2022 bagi mengatasi masalah pencemaran air di Sungai Semenyih. Foto Facebook LUAS
EXCOSELANGOR

Tiada pencemaran bau di Sungai Semenyih, pantau elak masalah berulang

SHAH ALAM, 3 DIS: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah menangani masalah pencemaran air berbau di Sungai Semenyih menerusi kerja pemantauan yang ditamatkan pada 6 pagi tadi.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata proses tersebut dihentikan agensi itu susulan tiada pencemaran bau dikesan di lokasi strategik pensampelan termasuk di kawasan muka sauk Jenderam Hilir dan tiada risiko henti tugas Logi Rawatan Air (LRA) Semenyih.

Katanya, LUAS dengan kerjasama pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengaktifkan proses itu bermula pada 6.30 petang semalam susulan insiden pencemaran sungai berbuih di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan, Jumaat lalu yang menyebabkan sungai tersebut turut tercemar.

“Melaui pemantauan LUAS di jambatan Sungai Pajam bermula 7 petang telah dikenal pasti aliran pencemaran memasuki sungai di Selangor dan proses itu dipertingkatkan melalui pensampelan dengan kekerapan lebih tinggi iaitu setiap 15 minit pada jarak 1.5 kilometer daripada muka sauk Jenderam Hilir bagi mengesan aliran tersebut.

“Manakala Air Selangor melaksanakan pemantauan rapi di muka sauk Jenderam Hilir dan siap siaga untuk mengaktifkan penutupan sementara operasi bagi mengelak aliran pencemaran
memasuki sistem loji yang mana boleh mengakibatkan impak henti tugas LRA yang lebih besar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Loy Sian, berdasarkan situasi semasa Sungai Semenyih dan kawasan sekitar yang menerima hujan lebat dengan aliran air sungai tinggi membantu mempercepatkan
pencairan (dilution) pencemaran di dalam sungai.

Bagaimanapun, katanya, LUAS dan agensi berkaitan akan terus melaksanakan pemantauan susulan insiden pencemaran itu berpotensi berulang memandangkan lokasi punca adalah daripada luar kawasan Selangor yang masih di dalam siasatan dan sedang dikenal pasti pihak berkuasa di Negeri Sembilan.

“LUAS bersama semua agensi di Selangor yang terlibat terus bekerjasama dengan pihak berwajib di Negeri Sembilan untuk menyelesaikan isu pencemaran ini dengan kadar segera,” katanya.

Beliau berkata semua pihak dinasihat agar prihatin terhadap aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terlibat serta tindakan tegas akan diambil selaras peruntukan Enakmen LUAS 1999.


Pengarang :