Penyanyi Aisha Retno aktif menyanyi sejak kecil dan mendapat bimbingan ibunya penyanyi terkenal Indonesia pada era 1980-an, Jean Retno Aryani.
AGENDABERITA UTAMARENCANA

Aisha Retno penerus legasi kemasyhuran ibu

Oleh INTAN SYUHADA AKHIR

Langkah menyertai pertandingan nyanyian Vokal Mania pada 2020 dan Big Stage pada 2022 membawa tuah kepada penyanyi Aisha Retno.

Satu demi satu kejayaan dilakar pemilik nama sebenar Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam selepas menang tempat ketiga Big Stage yang ditayangkan di saluran Astro Ria.

Gadis usia 22 tahun lulusan ekonomi dari Universiti Malaya bersuara lunak itu kemudian merakam beberapa lagu seperti Terima Kasih, Cinta Denganmu, Mengikat Jiwa dan Sutera.

Namun, lagu berbahasa Inggeris berjudul W.H.U.T (Wanna Hold You Tight) yang dilancarkan pada Disember 2021 meletakkannya sebagai penyanyi antarabangsa.

Laporan tahunan Spotify Wrapped 2022 menunjukkan lagu berkenaan mencatat 39 juta penstriman audio tahun ini, merangkumi 5.4 juta pendengar 179 negara.

“Saya rasa bukan mudah untuk menempa nama di dalam industri. Lagu saya W.H.U.T diterima ramai terutamanya pendengar Indonesia.

“Dapat dilihat laporan tersebut mencecah angka yang tidak disangka-sangka, statistik juga naik berbanding tahun sebelum. Saya betul-betul bersyukur dan tidak akan berhenti menghasilkan karya,” katanya kepada Selangorkini di ibu negara baru-baru ini.

Ibu guru vokal

Aisha bersyukur kerana sejak kecil, dibimbing ibunya penyanyi terkenal Indonesia pada era 1980-an iaitu Jean Retno Aryani.

“Saya memang aktif menyanyi sejak kecil dan banyak memenangi pertandingan di sekolah. Ibu banyak membimbing saya, lagi pula dia juga penyanyi Indonesia era 1980-an sebaris dengan Hetty Koes Endang.

“Dia guru vokal saya sejak kecil. Jadi, kalau ada apa-apa kesalahan, ibu betulkan untuk memastikan mutu nyanyian saya bertambah baik. Ibu agak tegas dalam banyak perkara. Namun bila bab nyanyian dia berlembut sedikit,” katanya yang meminati Ariana Grande dan Mariah Carey.

Melihat minat Aisha yang cenderung kepada muzik, ibunya menghantar Aisha ke kelas piano seawal usia lima tahun.

Lagu W.H.U.T nyanyian Aisha Retno semakin mendapat tempat terutama pendengar Indonesia.

“Memandangkan ibu pernah menjadi artis semasa usianya sebaya saya, dia banyak memberi nasihat. Jika saya sedih menerima kritikan, dia berpesan setiap yang berlaku akan berlalu. Saya hanya perlu tenang dan buktikan kepada mereka yang merendahkan saya dengan kejayaan baharu,” jelasnya.

Mengulas trend penyanyi ekspres yang cepat terkenal kerana popular di media sosial, Aisha yang terpaksa melalui pelbagai pertandingan untuk dikenali di dalam industri tidak berkecil hati.

“Ada artis yang mungkin dapat rezeki cepat. Mungkin mereka tular kerana mempunyai kualiti tersendiri. Bagi saya, rezeki saya mungkin belum sampai lagi. Apa yang saya boleh buat ialah terus memperbaiki diri dan mendalami lebih banyak ilmu muzik.

“Saya sendiri pun takut untuk berada di dalam industri ini kerana ujian tetap ada. Saya pernah dikatakan tidak layak berada di dalam industri dan ‘terlalu mencuba’. Namun sekarang, cakap-cakap itu tidak penting lagi kerana saya memberi fokus kepada pembangunan diri,” katanya.

Eksperimen muzik

Selepas kejayaan lagu berentak R&B Soul dalam W.H.U.T, Aisha meneruskan eksperimen lagu bahasa Inggeris keduanya berjudul ‘I.L.S.M’ atau ‘I Love Sadness More’.

“Dari segi lirik, I.L.S.M memang mengambil inspirasi lagu Glimpes of Us nyanyian Joji. Lagu itu memang indah. Kebetulan ketika lagu itu keluar, saya melalui fasa belum ‘move on’ tersebut, jadi saya menulis versi saya, tetapi dari sudut pandang seorang wanita,” jelasnya.

Ditanya perancangan kerjaya bagi 2023, Aisha bersama pengurusannya Sony Music Malaysia merancang untuk menerbitkan rekod vinil (EP) atau muat turun digital pertamanya tahun hadapan.


Pengarang :