AGENDANASIONAL

Amaran hujan dan ribut petir di Selangor, hujan di kebanyakan negeri hari ini, esok

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 23 DIS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan dan ribut petir di satu atau dua tempat di Selangor hari ini dan esok.

Agensi itu memaklumkan hujan berlaku pada sebelah pagi dan malam serta ribut petir pada sebelah petang.

“Esok diramalkan hujan pada pagi dan ribut petir sebelah petang. Diramalkan tiada hujan sepanjang Ahad di negeri ini,” kata agensi itu yang dikongsikan dalam laman Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Jabatan Metereologi turut meramalkan hujan di beberapa tempat di Perak, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah pada pagi hari ini.

“Pada petang diramalkan ribut petir di beberapa tempat di Kelantan, Terengganu, Perak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak manakala malam pula hujan diramalkan di beberapa tempat di Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Johor dan Sabah,” kata agensi itu.

Ramalan cuaca pada Sabtu mendapati hujan di beberapa kawasan di Sarawak dan ribut petir di Sabah pada pagi manakala ribut petir pada petang di beberapa kawasan di Perak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah serta hujan di beberapa tempat di Sarawak.

“Pada malam diramalkan berlaku ribut petir di beberapa tempat di Perak dan Sabah serta hujan di beberapa kawasan di Sarawak,” katanya.

Pada Ahad, diramal hujan di beberapa kawasan di Johor serta Sarawak dan ribut petir di beberapa tempat di Sabah pada pagi.

Diramal berlaku ribut petir di beberapa kawasan di Sarawak dan Sabah pada petang serta hujan di Tawau manakala malam hujan diramal di beberapa kawasan di Sarawak dan ribut petir di beberapa tempat di Sabah.

Turut dikongsikan ialah amaran hujan berterusan peringkat buruk di Pahang iaitu kawasan Pekan dan Rompin serta Johor (Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru) hari ini.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :