Hujan lebat. Foto Bernama
AGENDA NASIONAL

Amaran hujan lebat tahap bahaya di Kelantan, Terengganu hingga esok

OLEH FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 9 DIS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya di beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu sehingga esok.

MetMalaysia memaklumkan daerah terlibat adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai, Kelantan.

Di Terengganu pula membabitkan kawasan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang.

Selain itu, amaran hujan berterusan tahap buruk diramal melanda Perak (Hulu Perak), Kelantan (Gua Musang), Terengganu (Dungun, Kemaman) dan Pahang (Jerantut serta Kuantan).

Manakala, amaran hujan berterusan tahap waspada diramal berlaku di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah dan Kampar) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Maran, Pekan serta Rompin).

Menurut MetMalaysia, amaran hujan berterusan (bahaya) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 mm dalam tempoh 24 jam.

Amaran hujan berterusan (buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 mm dalam tempoh 6 jam.

Sementara amaran hujan berterusan (waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku melebihi 6 jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.


Pengarang :