Orang ramai memakai pelitup muka bagi mencegah penularan Covid-19 ketika membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada 10 April 2022. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Analisis: Langkah segera tangani beban Covid berpanjangan ke atas ekonomi, kesihatan

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Apabila Ali Imran Mohd Noordin mendapati dirinya positif Covid-19 kali kedua pada bulan Julai tahun ini (2022), beliau menuruti nasihat doktor untuk dirawat di hospital selama empat hari dan diberi ubat antivirus Covid-19 Paxlovid keluaran Pfizer.

Kali pertama beliau dijangkiti Covid-19 adalah pada bulan Ogos 2021 sebelum sempat mengambil vaksinasi. Bapa kepada lima orang anak ini memberitahu Bernama, meskipun pada masa itu gejala yang dialaminya sederhana, cuma demam dan hidung berair tetapi ia menginsafkan dirinya untuk lebih berhati-hati menjaga kesihatan diri

“Januari tahun ini (2022) saya buat pemeriksaan perubatan penuh. Ketika itu baru saya tahu ada sesuatu yang tak kena dengan paru-paru saya. Ujian paru-paru saya tak memuaskan. Apabila saya dijangkiti kali kedua dan mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, doktor dapati ada parut di paru-paru saya,” kata beliau kepada Bernama menerusi Zoom.

Meskipun beliau sudah pulih, Ali Imran masih belum dapat mencapai tahap kesihatan sebelum diserang Covid-19. Sehingga kini, beliau berkata masih belum dapat membuat kerja berat terlalu lama dan perlu berhenti untuk berehat.

Bagi beliau yang baru mencapai usia 40 tahun ini, sudah tentu keadaan ini bagaikan igauan buruk. Ayahnya menghidapi masalah yang sama tetapi ayahnya berusia 65 tahun apabila doktor mengesahkan ada penyakit paru-paru. Beza usia dengan ayahnya lebih 20 tahun.

Seakan jangkitan Covid-19 ini sudah ‘menuakan’ organ dalaman Ali Imran dan mengakibatkan beliau menghadapi pelbagai isu kesihatan. Beliau sebenarnya bukan bersendirian dalam hal ini.

Selepas hampir tiga tahun dunia dikejutkan dengan penularan Covid-19, dilaporkan jutaan pesakit di banyak negara mengalami kesan buruk penyakit ini, seperti kesukaran bernafas, rasa keliru dan keletihan melampau.

Gejala yang boleh berlarutan ini turut dipanggil Long Covid, long-haul Covid, pasca Covid atau sindrom pasca-acut Covid. Kesemua gejala ini menyukarkan penghidapnya untuk bekerja dan menjejaskan kedudukan kewangan mereka.

Impak ke atas ekonomi dan sistem penjagaan kesihatan juga boleh menjadi lebih buruk sekiranya negara yang terlibat termasuk Malaysia tidak melaksanakan dasar tindakan yang perlu sebagai kesiapsiagaan berhadapan dengan tenaga pekerja yang mungkin mudah jatuh sakit pada usia muda.

Pengayuh beca Tay Thien Chai, 58, (kiri) menerima suntikan dos penggalak Covid-19 ketika tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Melaka Mall pada 24 Januari 2022. Foto BERNAMA

Isu selepas Covid

Dalam kes Ali Imran, beliau dengan berat hati melepaskan jawatannya dalam bidang kewartawanan beberapa bulan lalu untuk memberi tumpuan kepada pemulihan kesihatannya setelah tidak mendapat persetujuan majikan untuk kelonggaran dasar bekerja. Beliau juga terpaksa melupakan impiannya untuk meneruskan program Ijazah Sarjana yang diikutinya sebelum dijangkiti Covid-19.

“Memang saya berasa sedih apabila mendapat penyakit Covid-19 ini. Siapa yang mahu dijangkiti penyakit ini. Tambahan koronavirus ini memberi kesan teruk kepada kesihatan saya. Saya terpaksa berhenti kerja kerana mahu memastikan kesihatan saya pulih sepenuhnya, ” katanya yang kini bekerja sebagai penulis bebas.

Ada satu istilah iaitu The Great Resignation untuk orang-orang seperti Ali Imran yang memutuskan untuk berhenti kerja atas sebab kesihatan. Laporan Brookings Institution (Ogos 2022), menganggarkan sehingga empat juta orang tidak lagi boleh bekerja akibat isu kesihatan pasca Covid. Sementara itu, laporan lain oleh US Department of Health and Human Services menganggarkan sehingga 23 juta orang menghadapi Long Covid.

Meskipun tidak ada perangkaan tepat mengenai fenomena ini, Jabatan Perangkaan Malaysia merekod jumlah penganggur tidak aktif – termasuk mereka yang mungkin akan mencari pekerjaan sekiranya mereka tidak sakit – meningkat sebanyak 2,300 kepada 110,700 untuk tempoh Oktober 2022, berbanding 108,400 pada bulan September 2022. Orang lain dalam kategori ini termasuk mereka yang tidak mencari kerja kerana percaya tidak ada pekerjaan atau mereka tidak berkelayakan dan juga yang sedang menunggu hasil permohonan pekerjaan.

Impak Covid-19 bukan setakat menghalang ketidakmampuan bekerja tetapi juga ada kaitan dengan ketidakmampuan untuk bekerja dengan baik.

Pasukan petugas perubatan selcare menjalankan ujian saringan Covid-19 kepada penduduk di Hulu Langat, pada 12 April 2020. Ujian itu dilakukan selepas pengumuman Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari untuk menjalankan saringan besar – besaran di zon merah di seluruh Selangor. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI Kalangan warga emas di Hulu Langat berasa gembira apabila pasukan perubatan sanggup datang ke rumah mereka untuk melakukan ujian saringan Covid-19. Petugas Gerakan Operasi Saringan Komuniti Covid-19 Kerajaan Selangor (Selcare) melakukan ujian saringan besar-besaran di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Ramal, Kajang dan Dusun Tua.
Pada 8 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri akan menjalankan saringan tersebut di zon merah bagi memerangi wabak berkenaan dengan menyasarkan ujian terhadap 5,000 orang.

Bernama mendapati beberapa kes seperti ini, contoh, seorang eksekutif syarikat minyak dan gas berusia 53 tahun yang tidak mampu kembali bekerja kerana gejala Long Covid. Satu lagi kes, melibatkan seorang profesional perubatan dengan sejarah penyakit jantung yang perlu menjalani angioplasti pada usia 34 tahun dan perlu mengambil ubat jantung seumur hidup. Sebelum jangkitan Covid-19, beliau seorang pelari dan hiker.

Seperti Ali Imran, sejarah perubatan keluarga nampaknya menjadi kenyataan lebih awal daripada yang dijangkakan.

Pakar epidemiologi Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud yang tidak terperanjat apabila mendengar kes-kes berkenaan menyatakan, Covid-19 adalah salah satu daripada penyakit berjangkit yag mempunyai kesan jangkitan yang panjang dan yang mungkin juga memendekkan jangkaan hayat.

“Kerosakan akibat virus SARS-CoV2 tidak berakhir dengan penyingkiran virus berkenaan daripada badan. Hakikatnya, ia mencetuskan pelbagai keadaan selepas seseorang itu dikatakan pulih daripada jangkitan akut,” katanya menerusi emel.

Menurut beliau, kajian menunjukkan bekas pesakit berkemungkinan mendapat dan mungkin meninggal dunia daripada penyakit yang tidak berjangkit (NCD), termasuk gangguan kardiovaskular dan diabetes, berbanding mereka yang tidak dijangkiti.

Kajian British Medical Journal baru-baru ini mengesan seramai 54,000 orang di UK dalam tempoh empat bulan setengah dan mendapati mereka yang dijangkiti Covid-19 dan mempunyai gejala sederhana berkemungkinan 10 kali ganda meninggal dunia akibat sebarang punca dalam tempoh empat bulan itu.

Kajian US Veteran Affairs yang dikeluarkan pada bulan Februari 2022 dan melibatkan 150,000 subjek, mendapati risiko strok meningkat sebanyak 52 peratus dalam tempoh setahun selepas jangkitan dan risiko kegagalan jantung meningkat 72 peratus. Kanak-kanak juga mungkin menghadapi risiko ini.

“Malahan kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada risiko ini dan ada bukti berlaku insiden gangguan yang jarang berlaku pasca jangkitan dalam kalangan kanak-kanak serta golongan remaja,” tambah Dr Awang Bulgiba.

Pentingnya data

Sebagai persediaan kepada jangkaan beban yang mungkin ditanggung oleh sistem penjagaan kesihatan Malaysia, ekonomi dan kekayaan isi rumah, data diperlukan, dan lebih baik sekiranya ia lebih terperinci.

Untuk menghitung kos Long Covid kepada ekonomi memerlukan jumlah kes, sejauh mana teruknya jangkitan, berapa hari kerugian akibat penyakit, kehilangan kualiti kehidupan serta kos perubatan untuk merawat penyakit.

Malangnya, pakar kesihatan dan ekonomik berkata, tidak ada data yang mencukupi di Malaysia buat masa ini.

Jumlah kes Covid-19 yang direkod mungkin tidak dikira dengan tepat, demikian menurut kumpulan penyelidikan Analisis dan Strategi Epidemiologi (CEASe) Covid-19. Pengesanan jangkitan menurun meskipun lebih ramai orang dijangkiti atau dijangkiti semula.

Dr Awang Bulgiba, yang juga sebahagian daripada kumpulan CEASe memberitahu Bernama, angka sebenar mungkin sekurang-kurangnya tiga kali ganda daripada angka rasmi yang dilaporkan.

“Ini bermakna kita mungkin tidak mempunyai angka yang tepat untuk mereka yang menanggung Long Covid, ” katanya menambah, perlu ada lebih banyak pelaburan dalam penyelidikan Long Covid bagi menentukan berapa lama kesannya akan berlarutan dan sama ada terdapat cara untuk menghalang kesan berkenaan menjadi kekal.

Pada masa ini, terdapat beberapa kajian yang mengesan status kesihatan bekas pesakit Covid-19 dan pekerja penjagaan kesihatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC), dikendalikan oleh ahli ekonomi kesihatan Prof Maznah Dahlui.

Beliau memberitahu Bernama, kajian berkenaan mengkaji sama ada sabjek menghidapi gejala Long Covid, kerugian perolehan dan kualiti kehidupan.

“Kami juga mengkaji mereka yang kembali bekerja. Kami mahu lihat berapa ramai yang mempunyai sejarah pengakuan Covid telah kembali bekerja dan sekiranya tidak, mengapa.

“Sama ada atau tidak kerana syarikat ditutup atau kerana mereka tidak mampu melaksanakan tugas mereka yang terdahulu. Kadang-kadang mereka tidak lagi bekerja kerana sudah diberhentikan kerja atau mereka mungkin masih bekerja tetapi melakukan pekerjaan yang lain,” katanya.

Seorang pengunjung farmasi memilih set kit ujian pantas (RTK) antigen Covid-19 yang dijual pada harga RM19.90 ketika tinjauan di Ayer 8, Putrajaya pada 6 September 2021. Foto BERNAMA

Beliau berkata, setakat ini, para penyelidik mendapati majoriti orang yang sebelum ini sihat tidak menunjukkan gejala Long Covid. Beliau menambah, Long Covid adalah lebih biasa dalam kalangan mereka yang dimasukkan ke hospital dan juga warga emas.

Bagaimanapun, Dr Maznah berkata, jangkitan Covid-19 mungkin menyebabkan gejala baharu atau memburukkan lagi keadaan kesihatan selepas sembuh dan menambah, Malaysia tidak bersedia untuk beban pasca pandemik ke atas sistem penjagaan kesihatan.

“Kita mempunyai beban berganda penyakit. Kita masih bertarung dengan penyakit berjangkit seperti batuk kering, denggi, malaria dan dalam masa yang sama kita semakin banyak mendapat NCD seperti diabetes, kebanyakannya penyakit berkaitan obesiti,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan Malaysia perlu meningkatkan belanjawan penjagaan kesihatan daripada jumlah semasa dua (2) peratus KDNK, dan melabur lebih dalam penjagaan kesihatan pencegahan.

Semua parti gabungan utama – Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) – berikrar akan meningkatkan bajet penjagaan kesihatan awam kepada lima (5) peratus dairpada KDNK sebelum Pilihan Raya Umum ke15. Kerajaan semasa terdiri daripada PH dan BN serta parti lain sebagai rakan kongsi.

Dr Maznah, yang juga pakar kesihatan awam di UMMC berkata, perkhidmatan penjagaan kesihatan Malaysia serta sistem penghantaran secara umumnya adalah baik, tetapi liputan kewangan penjagaan kesihatan iaitu ubat-ubatan, masih kurang.

“Buat masa ini, kalau pun anda tidak mempunyai wang, anda masih boleh mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan hanya membayar RM1 – tetapi anda perlu mengeluarkan wang sendiri untuk membeli ubat, terutamanya ubat untuk kanser, dan ubat ini boleh menjadikan seseorang itu jatuh miskin, ” katanya.

Memandangkan kos perubatan akan terus melambung, beliau berkata, Malaysia perlu melaksanakan insurans kesihatan kebangsaan atau skim insurans kesihatan sosial bagi menampung penjagaan kesihatan dengan membayar, antaranya untuk ubat-ubatan.

Sementara itu, Dr Awang Bulgiba berkata, penyelesaian terbaik adalah untuk mengelakkan daripada dijangkiti atau dijangkiti semula dengan terus memakai pelitup muka, terutamanya di dalam bangunan. Beliau juga memintya pihak berkuasa kesihatan memikirkan struktur kekal untuk vaksinasi Covid-19 bagi menyediakan dos penggalak atau booster dan vaksin baharu apabila diperlukan.

“Buat masa ini, apa yang dilakukan berdasarkan keadan tetapi perancangan untuk vaksinasi sepatutnya sudah dibuat,”katanya.

Untuk soal tenaga pekerja, banyak pekerja dengan masalah pasca Covid tidak lama lagi tidak perlu membuat pilihan antara kesihatan dan pekerjaan mereka, apabila pindaan Akta Kerja dilaksanakan bagi membolehkan peraturan kelonggaran kerja dikuatkuasakan. Bagaimanapun, pekerja masih perlu membuat permohonan.

Untuk Ali Imran, beliau sudah letih dengan sikap pihak perubatan yang memperlekehkan gejala yang dialaminya. Beliau berharap pihak berkenaan akan mempelajari lagi tentang Long Covid dan menerima Covid-19 sebagai faktor penyumbang apabila membuat penilaian isu kesihatan.

“Biasanya, mereka akan buat banyak saringan dan berkata ‘Oh you bukan pasal Covid you pasal ni.’ Tidak ada siapa pun pasti impak sebenar Covid jadi janganlah berlagak macam anda tahu semua perkara,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :