EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis apresiasi badan pengurusan bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) 2022 di Dewan Banquet MBSA Shah Alam pada 22 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Anugerah jadikan badan pengurusan lebih komited, bersemangat

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 23 DIS: Kejayaan menerima Anugerah Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menaikkan semangat empat pemenangnya untuk meneruskan kecemerlangan dalam pengurusan bangunan di bandar raya ini.

Wakil badan pengurusan bersama UOA Business Park iaitu pemenang utama kategori komersial, Maznah Mohd Zin, 32, berkata pihaknya yang menguruskan 11 blok bangunan empat tingkat mempunyai 309 unit rasa dihargai dengan kemenangan itu.

Wakil badan pengurusan bersama UOA Business Park, Maznah Mohd Zin pemenang kategori komersial pada majlis apresiasi badan pengurusan bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) 2022 di Dewan Banquet MBSA Shah Alam pada 22 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kami bersyukur dan lebih bersemangat untuk meneruskan usaha menjadi yang terbaik dalam pengurusan. Terima kasih MBSA atas pengiktirafan ini,” katanya ditemui selepas acara penyampaian anugerah dalam Majlis Apresiasi JMB dan MC di Dewan Bankuet MBSA.

Wakil MC De Palma yang memenangi anugerah utama kategori kos tinggi, Mohd Saiful Bahari Yaacob, 33, berkata pihaknya gembira dan akan terus komited untuk menguruskan tiga blok bangunan yang mempunyai 734 unit.

Wakil perbadanan pengurusan De Palma, Mohd Saiful Bahari Yaacob pemenang kategori kos tinggi pada majlis apresiasi badan pengurusan bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) 2022 di Dewan Banquet MBSA Shah Alam pada 22 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kami berpuas hati dengan penghargaan yang diberikan MBSA dan akan cuba yang terbaik untuk kekal sebagai pemenang utama tahun depan,” katanya.

Wakil MC Pangsapuri Tasik Kota Kemuning, Seksyen 31 yang menjadi pemenang utama kategori kos sederhana, L Acunaidu, 74, berkata pihaknya tidak sangka dipilih sebagai pemenang utama kerana sebelum ini mereka menerima saguhati.

Wakil pangsapuri Tasik Kota Kemuning, L Acunaidu pemenang pertama kategori kos sederhana pada majlis apresiasi badan pengurusan bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) 2022 di Dewan Banquet MBSA Shah Alam pada 22 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Ini bermaksud pengurusan kami di empat blok pangsapuri yang mempunyai 160 unit semakin baik. Kami akan tingkatkan usaha untuk terus menjadi yang terbaik selepas ini,” katanya.

Sementara itu, wakil JMB Pangsapuri Sentosa, Seksyen U13, Setia Alam yang merupakan pemenang utama kategori kos rendah, Mohd Shukri Abdul Rahim, 31, berkata langkah pihaknya yang lebih terbuka, selalu mengadakan pertemuan dengan penduduk dan menyelesaikan masalah kutipan yuran dengan baik mungkin menjadi faktor kemenangan itu.

“Bukan mudah untuk kami menguruskan lapan blok bangunan pangsapuri enam tingkat yang mempunyai 650 unit rumah. Alhamdulillah berkat kerja keras dan kerjasama daripada penduduk kami berjaya melakukannya.

Wakil badan pengurusan bersama Pangsapuri Sentosa Seksyen 13 Setia Alam, Mohd Shukri Abdul Rahim pemenang pertama kategori kos rendah pada majlis apresiasi badan pengurusan bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) 2022 di Dewan Banquet MBSA Shah Alam pada 22 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kami rasa bersemangat untuk mengekalkan prestasi dan penghargaan ini sangat bermakna buat kami,” katanya.

Pada majlis itu pemenang utama menerima wang tunai RM2,000, sijil dan plak daripada EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar, Rodziah Ismail.


Pengarang :