PENDAPATRENCANA

Apakah punca banyak wabak bermula dari China?

SHAH ALAM, 1 DIS: Baru-baru ini, protes berleluasa di China kerana kawalan ketat untuk mengawal penularan Covid-19 seperti pengujian massa (mass testing), sekatan pergerakan (lockdown) yang berterusan dan kuarantin.

Walaupun kawalan penularan wabak semakin longgar di seluruh dunia, malah sesetengah negara telah masuk ke fasa endemik, China masih lagi meneruskan kawalan ketat selepas tiga tahun sejak kemunculan Covid-19.

Walaupun China merupakan negara yang rendah kes dan kematian wabak pada peringkat awal, hal ini tidak dapat dibendung lagi kerana pelbagai faktor seperti kapasiti kesihatan yang rendah dan vaksin yang tidak efektif. Untuk makluman, China hanya menggunakan vaksin buatan mereka sahaja, mereka tidak import vaksin dari luar.

Selain daripada masalah ini, pelbagai varian berjangkit Covid-19 telah pun muncul di China dan mereka pun tidak mahu sejarah berulang. Pelbagai wabak dan kemunculan virus bermula dari China bukan perkara baru.

Seorang pengunjung melihat replika Covid-19 pada Ekspo Kesihatan Dunia di Wuhan, China pada 11 November 2020. Foto AFP

Banyak wabak yang berlaku sepanjang sejarah bermula dari China. Black Death (1346–1353), Wabak Pandemik Ketiga (1855–1960), Wabak Manchuria (1910–1911), Asian Flu (1957-1958), Hong Kong Flu (1968–1970), Russian Flu (1977), SARS (2002-2004), Avian Flu (2013–2019) semuanya bermula dari China. Wabak Covid-19 (2019–kini) pun dispekulasikan bermula dari China.

Faktor wabak

Ada beberapa faktor mengapa banyak wabak bermula dari China. China merupakan negara yang paling ramai populasinya – mencecah sehingga 1.4 bilion manusia yang merangkumi 17.7 peratus populasi dunia setakat 31 Disember 2021.

Manusia paling ramai tinggal di China. Disebabkan populasinya tinggi, pembangunan bandar dan perumahan untuk dijadikan tempat tinggal juga tinggi. Jadi, China juga merupakan negara yang paling tinggi pembandarannya. Sebanyak 60 peratus daripada populasi di China tinggal di bandar.

Pembangunan bandar telah mengakibatkan habitat haiwan perlu diganggu. Perkara ini tidak dapat dielakkan. Maka, banyak pencerobohan habitat liar dan penebangan hutan dilakukan. Penebangan ini sebenarnya menjadi salah satu pemicu untuk munculnya wabak.

Apabila hutan ditebang, populasi haiwan liar pemangsa akan menurun. Dengan ketiadaan pemangsa untuk memakan, haiwan mangsa dalam rantaian makanan mudah untuk bermandiri hasil daripada penebangan ini dan jumlah mereka akan meningkat.

Misalnya kelawar dan tikus yang telah menjadi hos pelbagai jenis virus akan meningkat. Habitat mereka yang terancam akan menjadikan mereka dapat hidup berhampiran dengan bandar. Seterusnya, hidup bersama manusia.

Pembandaran telah mewujudkan rangkaian ekosistem antara haiwan liar, haiwan ternakan dan manusia. Ini bermakna, pencerobohan habitat liar untuk proses perbandaran telah mewujudkan hubungan antara manusia dengan haiwan liar. Hal ini menyebabkan mudahnya berlaku penularan virus daripada haiwan liar kepada manusia. Seterusnya, menjadikan manusia sebagai hos baharu untuk virus.

Manusia dan haiwan

Proses rangkaian ini bukanlah perkara baharu. Jangkitan virus daripada haiwan kepada manusia telah bermula sejak manusia mula bercucuk tanam 12,000 tahun lalu lagi. Aktiviti pertanian awal telah melahirkan aktiviti penternakan.

Aktiviti penternakan telah menjadikan hubungan antara manusia dan haiwan menjadi lebih rapat sehinggakan tidur di kandang haiwan bukan perkara ganjil, lebih-lebih lagi ketika di zaman pertengahan. Hubungan yang rapat ini telah menjadikan penyakit berjangkit sangat mudah menular dalam kalangan manusia.

Pegawai perubatan memeriksa maklumat pesakit yang disahkan bebas jangkitan Covid-19 di salah sebuah hospital di Wuhan pada 4 Mac 2020. Foto AFP

Kematian manusia meningkat semenjak itu dan salah satu faktornya adalah penyakit berjangkit daripada haiwan. Walaupun manusia pemburu tinggal di kawasan yang liar, mereka tidak hidup bersama haiwan. Malah, haiwan sama ada ancaman ataupun makanan buat manusia pemburu.

Pergelutan antara manusia dan virus daripada haiwan sejak ribuan tahun lalu telah menyebabkan manusia berjaya menghasilkan imunisasi tubuh. Sebab itulah di zaman ini kita masih lagi dapat menternak lembu dan kambing, memelihara burung dan anjing tanpa terkena sebarang bentuk virus.

Tetapi apabila manusia mula hidup bersama dengan haiwan liar yang tidak pernah hidup bersama manusia, virus daripada haiwan ini berpotensi menjangkiti manusia kerana virus tersebut mungkin virus asing yang belum pernah menjangkiti manusia.

China juga cukup terkenal dengan memakan haiwan-haiwan liar terutamanya haiwan berasaskan burung. Hubungan antara manusia dan haiwan-haiwan ini berpotensi untuk mencetuskan virus baharu.

Disebabkan aktiviti ini, pada 2017, saintis dari China sendiri telah meramalkan China akan menjadi tapak bermulanya pandemik di masa hadapan. Ramalannya ternyata benar apabila Covid-19 mula tercetus di Wuhan, China pada Disember 2019.

Kemudian, banyak virus-virus baharu dikenal pasti selepas itu. Selain daripada virus Langya, virus H10N3 juga dikenal pasti pada 2021 di China. Virus ini banyak datang daripada spesis-spesis burung liar.

Ironinya, apabila populasi meningkat, perbandaran akan meningkat. Tetapi sebenarnya perbandaran merupakan antara kaedah memperlahankan perkembangan populasi. Di seluruh dunia memperlihatkan kadar perkembangan populasi lebih perlahan di bandar berbanding di luar bandar.


Pengarang :