Anggota APM Taiping turut membuat pemantauan dan menyelamat mangsa banjir berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Foto Facebook APM Taiping
AGENDANASIONAL

APM: Salur bantuan banjir menerusi agensi keselamatan

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Orang ramai atau badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir diminta berbuat demikian menerusi agensi-agensi keselamatan bagi tujuan penyelarasan.

Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (Ketua Cawangan Khidmat Kemanusiaan) Lt Kol (PA) Amirsarifudin Zalman berkata langkah itu dapat mengelakkan mereka daripada berdepan risiko kejadian tidak diingini, jika turun ke lokasi bencana.

“Mereka tidak digalakkan untuk memasuki kawasan kejadian banjir kerana risiko yang dihadapi pasukan penyelamat berbeza dengan risiko keselamatan orang awam dan tidak terlatih,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang disiarkan malam tadi.

Menghargai usaha orang ramai dan NGO untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir, Amirsarifudin berkata pihaknya turut menghadapi kekangan dari segi logistik untuk disediakan kepada mereka yang ingin menghantar bantuan ke lokasi banjir.

Dalam pada itu, beliau berkata APM bersedia membimbing mereka yang mahu menghulurkan bantuan di kawasan bencana dengan memberikan latihan berkaitan.

“Kami bersedia untuk bekerjasama dengan mereka yang berniat untuk membantu supaya mereka terlatih dan dapat bersama-sama pasukan menyelamat dalam operasi bencana ini nanti,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :