Umat Islam menjaga jarak fizikal ketika mengerjakan umrah di Masjidil Haram pada 3 Oktober 2020 setelah pihak berkuasa Arab Saudi melonggarkan sekatan susulan Covid-19 di kota suci Mekah, Arab Saudi. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Arab Saudi keluar lebih 4 juta visa umrah bagi 1444 Hijrah

MAKKAH, 12 DIS: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan pengeluaran lebih 4 juta visa umrah kepada semua jemaah dari seluruh dunia dalam tempoh lima bulan, sejak awal musim umrah bagi tahun 1444 Hijrah.

Kementerian itu dengan kerjasama beberapa sektor lain melaksanakan pengeluaran visa berkenaan demi memudahkan ketibaan jemaah melalui imbasan biometrik e-Visa menerusi laman sesawang Kementerian Haji dan Umrah serta platform ‘Nusuk’ dengan penyediaan perkhidmatan berkualiti tinggi bagi melaksanakan ibadah dengan mudah dan tenang.

Di samping itu, ia dijangka dapat menambahkan lagi pengalaman mereka daripada sudut budaya dan agama bagi merealisasikan matlamat program Wawasan Saudi 2030, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Untuk maklumat lanjut berhubung kaedah mendapatkan visa umrah, jemaah Umrah dan pelawat dari luar negara boleh melayari pautan http://www.haj.gov.sa/ar/InternalPages/Umrah, manakala untuk membeli pakej perkhidmatan dan membuat pembayaran dalam talian menerusi pautan http://nusuk.sa serta platform ‘Maqam’ http://maqam.gds.haj.gov.sa.

Orang Islam yang mendapat semua jenis visa (peribadi, lawatan dan pelancongan) termasuk jenis lain yang membenarkan kemasukan ke Arab Saudi, boleh melakukan ibadah Umrah, melawat, menunaikan solat di Raudhah selepas membuat tempahan slot mereka melalui aplikasi ‘Nusuk’.

Arab Saudi turut melanjutkan tempoh visa Umrah daripada 30 hari kepada 90 hari bagi kemasukan ke negara itu melalui jalan darat dan udara.

Aplikasi ‘Nusuk’ turut memudahkan tempahan slot untuk jemaah mengerjakan Umrah dan melawat Masjid Nabawi selepas mereka memperoleh visa menerusi sistem elektronik.

Kementerian juga menyediakan maklumat mengenai senarai ejen sah melalui pautan http://eservices.haj.gov.sa/eservices3/pages/VisaInquiry/SearchVisa.xhtml?dswid=-4283

-BERNAMA


Pengarang :