Antara 60 sukarelawan Avisena yang menjayakan program menanam pokok spesis balak di sekitar Taman Eko Rimba Sungai Sendat, Batang Kali pada 3 Disember 2022. Foto Facebook Avisena Specialist Hospital
SELANGOR

Avisena tanam 80 anak pokok di Taman Eko Rimba Sungai Sendat

BATANG KALI, 4 DIS: Sebanyak 80 anak pokok terdiri daripada pelbagai spesies balak antaranya tualang, merawan siput jantan, kapur, meranti temak nipis dan kelat jambu laut ditanam di sekitar Taman Eko Rimba Sungai Sendat di sini, semalam.

Program tanggungjawab sosial korporat Avisena Healthcare Sdn Bhd (Avisena) itu dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor, selaras dengan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilancarkan kerajaan bermula 2021 hingga 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Avisena Elina Nadia Omar berkata Taman Eko Rimba Sungai Sendat dipilih untuk program itu kerana ia merupakan kawasan tarikan ekopelancongan yang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal.

“Sebagai sebuah kumpulan syarikat penjagaan kesihatan, program penjagaan alam sekitar untuk masa depan yang lebih hijau amat penting bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan menanam pokok untuk tujuan kelestarian dan membantu meningkatkan ekosistem yang mampan,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran program itu.

Seramai 60 sukarelawan Avisena antaranya doktor, jururawat dan ahli farmasi terlibat menjayakan program menanam pokok itu yang turut dihadiri Pegawai Perhutanan Daerah Hulu Selangor Zulkurnain Zakaria.

Selain menanam pokok, peserta memperindahkan kawasan taman ekorimba tersebut termasuk menambah tong sampah kitar semula dan mengecat pondok sedia ada, selain menyumbang peralatan seperti mesin penyapu daun kering.

Berdasarkan laman rasmi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di https://www.100jutapokok.gov.my/, sebanyak 48 peratus atau 48.22 juta pokok yang merangkumi lebih seribu spesies telah ditanam di seluruh negara setakat 1 Dis lepas.

-BERNAMA


Pengarang :