Aksi pemain tengah Selangor FC Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadim ketika pasukan Gergasi Merah itu menewaskan PJ City 1-0 pada saingan Liga Super di Stadium MBPJ pada 7 Oktober 2022. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Azam Azmi, Mukhairi Ajmal, Arif Aiman rebut gelaran pemain muda terbaik

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Pemain pertahanan Terengganu FC (TFC) yang sedang meningkat naik, Muhammad Azam Azmi Murad sama sekali tidak menyangka namanya turut disenaraikan bagi merebut gelaran ‘Pemain Muda Terbaik’ pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) musim ini.

Muhammad Azam, 21, bakal berdepan saingan sengit bersama dua lagi calon pemain bola sepak tempatan iaitu pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Mohd Hanapi, 20, dan pemain tengah Selangor FC Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadim, berusia 21 tahun.

Beliau berkata pencalonan itu merupakan satu pengiktirafan buat barisan pemain di bahagian pertahanan memandangkan posisi itu sering kurang diberi perhatian jika bersaing secara terbuka dengan penyerang dan pemain tengah.

“Selepas apa yang saya pamerkan sepanjang musim ini bersama TFC, saya rasa sangat berpuas hati kerana semakin mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan memang tidak menjangka boleh tercalon di ABK22.

“Terima kasih kepada jurulatih (Nafuzi Zain) dan pasukan TFC yang sentiasa mempercayai saya, musim 2022 antara detik paling manis dalam karier. Bersaing dengan Arif  Aiman dan Muhammad Mukhairi pasti sengit untuk menang memandangkan mereka berdua antara pemain yang hebat,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hari ini.

Pada musim lepas, kategori ini menjadi milik Arif Aiman dan bintang muda JDT itu sekali lagi akan mempertahankan anugerah itu pada musim ini.

ABK22 yang akan berlangsung secara maya pada 9 malam, 15 Dis ini, menyaksikan sebanyak 16 kategori dipertandingkan antaranya Penjaga Gol Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Bernilai (MVP).

— BERNAMA

 


Pengarang :