Anggota bomba memindahkan mangsa banjir di Kampung Sungai Gali, Pasir Puteh, Kelantan pada 19 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bah di pantai timur, bilangan mangsa terus meningkat malam ini

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Mangsa banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang terus  mencatatkan peningkatan malam ini berbanding petang tadi, manakala di Johor menunjukkan sedikit penurunan dan tiada perubahan jumlah mangsa di Perak.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 29,717 orang daripada 8,214 keluarga berbanding 19,601 orang daripada 5,699 keluarga petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan kini terdapat 293 pusat pemindahan sementara (PPS) yang sedang beroperasi di kesemua lapan daerah.

Setakat malam ini Kemaman menjadi daerah yang paling teruk terjejas membabitkan 9,717 mangsa (2,497 keluarga); Hulu Terengganu seramai 6,401 mangsa (1,978 keluarga); Besut 5,492 mangsa (1,506 keluarga); dan Setiu 3,988 mangsa (1,196 keluarga).

Selain itu Dungun merekodkan 1,963 mangsa (527 keluarga); Kuala Terengganu 987 mangsa (241 keluarga); Kuala Nerus 689 mangsa (160 keluarga); manakala Marang 480 mangsa (109 keluarga).

Sementara itu, Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Ahmad Izram Osman berkata pasukannya melakukan pemantauan udara bagi mendapat gambaran sebenar situasi dan tahap banjir di Terengganu, dan dijadual melakukan pemantauan serupa di Kelantan, esok.

Di KELANTAN, Portal Rasmi eBanjir negeri https://ebanjir.kelantan.gov.my/ memaklumkan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 14,359 orang daripada 3,942 keluarga malam ini, berbanding 12,104 orang daripada 3,295 keluarga petang tadi.

Menurut portal itu, sebanyak 104 PPS dibuka membabitkan sembilan jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Berdasarkan laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/, sembilan sungai utama telah melepasi paras bahaya termasuk Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dengan bacaan 40.71 meter (m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (24.84m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.78m).

Di PAHANG, bilangan mangsa banjir terus meningkat selepas 865 mangsa daripada 218 keluarga telah dipindahkan setakat 8 malam ini, berbanding 647 mangsa daripada 159 keluarga pada 4 petang tadi.

Seketeriat JPBN memaklumkan lapan PPS dibuka di Kuantan bagi menempatkan 803 individu daripada 198 keluarga, manakala 62 lagi mangsa banjir daripada 20 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di Raub.

Paras air Sungai Keratong di Rompin malam ini masih melepasi tahap bahaya, namun menunjukkan trend menurun.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di daerah Segamat menurun kepada 53 orang setakat 8 malam ini berbanding 75 orang yang direkodkan petang tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan memaklumkan lokasi terjejas di daerah itu melibatkan Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 dan Kampung Kuala Paya.

Menurut kenyataan itu kesemua mangsa terdiri daripada 17 keluarga, ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, Balai Raya Kampung Kuala Paya dan Dewan Komuniti Kampung Tasek.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir kekal 54 orang dari 17 keluarga dengan kesemuanya ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Batu 4 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat.

— BERNAMA

 


Pengarang :