Penduduk yang terperangkap akibat banjir diselamatkan anggota bomba di Kampung Balik Bukit, Bandar Permaisuri, Terengganu pada 18 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bah di pantai timur, helikopter digerak hantar bekalan ke kawasan putus hubungan

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) akan mengerakkan dua helikopter miliknya ke kawasan yang terputus hubungan akibat banjir di Pantai Timur, kata Pengarah Bahagian Operasi jabatan itu Datuk Nor Hisham Mohammad.

Beliau berkata unit udara dikerahkan sekiranya bantuan aset darat dan air menghadapi masalah untuk ke kawasan yang terjejas akibat banjir seperti di Gua Musang, Kelantan yang terputus hubungan sejak empat hari lepas.

“Unit udara akan digerakkan ke kawasan tersebut bagi menghantar bekalan makanan kepada mangsa yang berada di lokasi,” katanya pada program Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia di TV1 hari ini.

Nor Hisham berkata bantuan seperti penggunaan lori muatan besar seberat 10 hingga 20 tan digunakan secara praktikal di kawasan-kawasan bandar dalam menggerakkan mangsa banjir.

Dalam pada itu, Nor Hisham menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan daripada berada di kawasan peranginan di negeri-negeri yang sedang menghadapi banjir.

“Kami tidak mahu insiden seperti kepala air berlaku di kawasan peranginan dan mohon agar orang ramai tangguh percutian mereka ke negeri-negeri terjejas banjir,” katanya.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi dan memantau anak-anak mereka yang berada di kawasan banjir bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :