Keadaan cuaca yang semakin baik memberi peluang buat pesawah melakukan kerja-kerja membajak tanah di kawasan bendang ketika tinjauan di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan pada 26 Disember 2022. Kota Bharu antara jajahan yang terjejas banjir baru-baru ini, namun kini semua aktiviti termasuk pertanian berjalan seperti biasa. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bah semakin pulih, hanya satu PPS beroperasi di Terengganu

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Situasi banjir yang melanda beberapa negeri sejak akhir bulan lepas semakin pulih dengan hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Terengganu, pagi ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, seramai 53 orang daripada 12 keluarga masih di PPS Masjid Kampung La di Besut, kekal seperti semalam.

Semua mangsa berkenaan dijangka berada di PPS itu untuk tempoh yang lama berikutan kebanyakan rumah mereka rosak sepenuhnya akibat dihanyutkan arus banjir.

Sementara itu, jumlah penduduk di Sabah yang terkesan dengan fenomena air pasang besar dan ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2, Sandakan berkurang kepada 652 orang daripada 113 keluarga pagi ini berbanding 688 orang daripada 121 keluarga, malam tadi.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sebelum ini menasihatkan penduduk di negeri-negeri Pantai Timur agar kekal berwaspada walaupun situasi bencana itu semakin pulih, berikutan hujan lebat berterusan masih berpotensi berlaku kerana Monsun Timur Laut belum berakhir hingga Mac 2023. – BERNAMA


Pengarang :