Balu bekas kapten Selangor Anuar Abu Bakar, Siti Mariam Sathawee bersama anak-anaknya ditemui pemberita selepas majlis cabutan undi unit dan menandatangani perjanjian penyerahan hartanah kepada 26 bekas pemain bola sepak Selangor yang memenangi Piala Malaysia 1995 di ruang legar di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 8 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Balu bekas pemain bola sepak Selangor 1995 sebak dapat rumah

SHAH ALAM, 9 DIS: Balu kepada bekas pemain bola sepak Selangor 1995 Anuar Abu Bakar gagal menahan sebak mengenangkan perjuangan arwah suaminya untuk mendapatkan ganjaran tanah yang dijanjikan menemui titik noktah.

Siti Mariam Sathawee, 49, bersyukur memperoleh seunit kediaman di Pangsapuri Idaman Abadi, Batu 18, Kajang 2, Hulu Langat bernilai RM250,000 daripada Kerajaan Selangor pimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau menganggap pemberian rumah berkeluasan 1,022 kaki per segi sebagai hadiah bermakna dan rezeki buat lima anaknya biarpun arwah suaminya tidak sempat merasai habuan itu.

“Dahulu semasa masih hidup, arwah berusaha mendapatkan ganjaran dijanjikan. Sebelum meninggal dunia, arwah kerap berjumpa dengan orang yang menguruskan ganjaran ini, tetapi tidak berjaya.

“Arwah meluahkan rasa kecewa sampailah saya cakap kepada arwah tidak mengapa, kalau ada rezeki insya-Allah pasti jadi milik kita. Selepas itu, perjuangan menuntut hak ganjaran diteruskan sahabat-sahabat arwah.

“Alhamdulillah selepas menanti selama 27 tahun akhirnya kemelut berakhir. Saya amat berterima kasih kepada sahabat arwah yang banyak membantu dan Kerajaan Selangor atas keprihatinan hingga terjadinya detik bersejarah hari ini (semalam),” katanya sebak.

Mariam berkata beliau belum merancang untuk mendud

Datuk K Rajagopal pada majlis cabutan undi unit dan menandatangani perjanjian penyerahan hartanah kepada 26 bekas pemain bola sepak Selangor yang memenangi Piala Malaysia 1995 di ruang legar di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 8 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

uki kediaman berkenaan memandangkan sekarang sudah memiliki rumah sendiri di Seksyen 9 di sini, namun tidak menolak kemungkinan menyewakan kepada orang lain.

“Saya sudah bincang dengan anak-anak dan mereka beritahu terpulang kepada ibu mahu buat apa, mungkin boleh sewakan kepada orang dan duit itu boleh digunakan untuk perbelanjaan memandangkan saya tidak bekerja,” katanya.

Sementara itu, bekas kapten pasukan Selangor Ismail Ibrahim, 59, menyifatkan kerja keras yang dilaksanakan selama ini termasuk berjumpa Amirudin berbaloi.

“Selepas kami mengetahui tanah yang dijanjikan sebelum ini tiada pada pertengahan 2019, kami cari semula kronologi menerusi keratan akhbar sebelum berjumpa Dato’ Menteri Besar.

“Kami yakin dapat tuntut ganjaran ini sebab ada minit mesyuarat dan hitam putih. Kalau tiada kami pun tidak berani. Alhamdulillah, beliau (Amirudin) dan Rodziah Ismail (EXCO Perumahan) banyak bantu hingga kami diberikan seunit rumah,” katanya.

Bagi Dato’ K Rajagopal, 66, selaku bekas penolong jurulatih pasukan ketika itu, beliau gembira melihat bekas anak buahnya akhirnya mendapat hak masing-masing selepas melewati pelbagai kemelut.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak terutama Dato’ Menteri Besar dan EXCO perumahan yang prihatin dengan isu ini hingga menemui jalan penyelesaian,” katanya.

Pasukan Selangor menjuarai Piala Malaysia kali ke-28 pada 11 November 1995 selepas menanti selama sembilan tahun apabila menewaskan Pahang dengan jaringan 1-0 di Stadium Shah Alam.

Susulan itu, pemain dan pegawai dijanjikan sebidang tanah berukuran 0.4 hektar oleh mantan Menteri Besar Tan Sri Muhammad Muhammad Taib tetapi tidak ditunaikan menyebabkan mereka meminta Amirudin mencari jalan penyelesaian.


Pengarang :