Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli ketika ditemu bual media selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Yang Berhormat Anggota Jemaah Menteri di Istana Negara pada 3 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Bangun ekosistem harga anjal bantu kawal inflasi

PUTRAJAYA, 23 DIS: Satu ekosistem berasaskan data harga dari seluruh negara untuk menyuntik keanjalan harga dan bekalan akan dibangunkan dalam usaha membantu mengawal inflasi pada masa akan datang, menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata ekosistem yang akan dilancarkan dalam masa sebulan itu akan dibangunkan dan digerakkan sendiri oleh pengguna untuk membantu menambah keanjalan dari sudut permintaan.

“Saya berharap kita dapat menyediakan ekosistem yang mana tabiat membeli itu banyak dipengaruhi oleh harga berpatutan. (Jadi) peniaga contohnya hendak menaikkan harga barang makanan yang dijual dari semasa ke semasa, dia fikir dua kali (dan) tidak semudah itu,” katanya pada sidang media Penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) November 2022 di sini hari ini.

Rafizi berkata kerajaan tidak akan terlibat secara langsung dalam membangunkan platform untuk ekosistem itu, sebaliknya akan membantu mereka yang bersedia membangunkannya dengan menyediakan data berkaitan harga purata sesuatu barangan dari Jabatan Perangkaan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Menurutnya, pengguna juga perlu memainkan peranan untuk menjadikan penawaran dan permintaan barangan lebih anjal, termasuk tidak membeli produk yang dijual lebih mahal berbanding sebelumnya, supaya harga sesuatu barangan tidak meningkat terlalu tinggi.

Beliau berkata pengguna di negara ini dilihat masih bersedia untuk membayar harga yang ditawarkan penjual biarpun harga barangan terus meningkat, justeru menyarankan pengguna membeli daripada peniaga yang menawarkan harga berpatutan.

“Bukan boikot. Tetapi, anda tidak perlu membeli kerana ada banyak pengganti. Jika harga yang dikenakan peniaga dirasakan terlalu tinggi berbanding harga purata peniaga lain, sewajarnya pengguna menjauhi peniaga itu agar faktor permintaan yang berkurang akan menekan peniaga untuk menurunkan harga,” katanya.

Menurutnya data IHP November 2022 menunjukkan, satu kategori perbelanjaan paling mempengaruhi inflasi adalah harga barangan makanan dan minuman bukan alkohol iaitu kumpulan perbelanjaan paling besar bagi isi rumah iaitu pada wajaran 29.5 peratus.

“Perbelanjaan makanan dan minuman bukan alkohol pula dipecahkan kepada makanan di rumah (pada wajaran 16.9 peratus perbelanjaan) dan makanan di luar rumah (pada 11.5 peratus perbelanjaan),” katanya.

Beliau berkata, bagi November 2022, kadar inflasi kekal pada empat peratus, didorong oleh peningkatan harga makanan dan minuman bukan alkohol yang naik pada kadar 7.3 peratus pada bulan itu berbanding 7.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Kenaikan ini sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan harga makanan siap dimasak, terutamanya berasaskan ayam dan tepung, katanya.

Sehubungan itu, Rafizi berkata usaha mengawal inflasi memerlukan kerjasama semua pihak sama ada kerajaan, peniaga mahupun rakyat.

“Kementerian-kementerian kini giat membangunkan langkah segera untuk membaiki rantaian nilai di sebelah pembekal untuk memastikan harga tidak naik dengan bekalan mencukupi.

“Pada masa sama, saya berpendapat kita wajar menggerakkan kesedaran rakyat supaya lebih tangkas bertindak balas kepada kenaikan harga makanan dan minuman bukan alkohol untuk memastikan hubung kait permintaan dan bekalan lebih anjal,” katanya.

Ketika ditanya langkah kerajaan untuk membantu mengurangkan impak pelaksanaan subsidi secara bersasar kepada rakyat, beliau berharap satu mekanisme yang membolehkan subsidi diagihkan secara adil kepada penerima yang layak dapat dibangunkan pada tahun hadapan.

Beliau berkata ia perlu dibangunkan secepat mungkin bagi membolehkan kerajaan mengagihkan subsidi dan bantuan kewangan kepada rakyat secara bersasar.

-BERNAMA


Pengarang :