Kemudahan khemah yang disediakan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (gambar hiasan). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir: 27, 736 mangsa berlindung di 153 pusat pemindahan sementara

KOTA KINABALU, 24 DIS: Seramai 27,736 orang melibatkan 8,666 keluarga masih ditempatkan di 153 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri yang masih mengalami banjir iaitu Sabah, Sarawak, Perak, Terengganu, Kelantan dan Johor, setakat 2 petang ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata semua PPS di Selangor dan Pahang telah ditutup.

Beliau berkata Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan luruan kedua monsun dijangka berterusan hingga 27 Dis ini dan Amaran Hujan Berterusan Siri Ketujuh dikeluarkan 14 Dis lepas masih berkuat kuasa bermula 17 Dis.

“Tiga Amaran Ribut Petir dikeluarkan di Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Negeri Sembilan,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu Armizan yang melawat Tanjung Aru Baru di sini hari ini, dalam kenyataan sama berkata fenomena air pasang besar dan angin kencang yang berlaku sejak dua hari lepas mengakibatkan tiga rumah atas air roboh dan 27 rumah mengalami kerosakan di kawasan itu.

Beliau berkata 674 orang daripada 164 keluarga dipindahkan ke lapan PPS di negeri ini akibat banjir dan air pasang besar, iaitu di daerah Kota Belud, Pitas dan Kota Kinabalu.

Katanya, di Sarawak, empat daerah iaitu Betong, Kuching, Samarahan dan Serian terjejas banjir dengan 17 PPS dibuka, melibatkan 1,150 mangsa daripada 298 keluarga.

– BERNAMA


Pengarang :