Pasukan penyelamat memindahkan seorang warga emas selepas kediamannya dinaiki air di Kampung Kepah, Hulu Terengganu pada 18 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir: 6,307 mangsa terjejas di seluruh negara, 86 pusat pemindahan dibuka

PUTRAJAYA, 18 DIS: Petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di enam negeri terlibat banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Johor, Perak, Pahang dan Sarawak, telah digerakkan bagi menguruskan mangsa bencana itu bersama agensi lain mengikut keperluan dan peranan masing-masing.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan memaklumkan seramai 6,307 mangsa daripada 1,833 keluarga terjejas akibat banjir dan semua keperluan makan, minum serta barangan asas telah dibekalkan kepada mereka.

Sebanyak 86 pusat pemindahan sementara (PPS) juga telah dibuka untuk mangsa banjir di seluruh negara dengan 39 PPS di Kelantan, Terengganu (40), Johor (tiga), Perak (dua) dan masing-masing satu PPS di Pahang dan Sarawak setakat 5 petang tadi.

“Keadaan semasa di semua PPS adalah terkawal. JKM memantau secara terus perkembangan semasa situasi banjir di semua negeri dan arahan juga dikeluarkan agar semua petugas bersiap sedia sepanjang masa walaupun berada di tempat yang tidak dilanda banjir untuk membantu pengurusan mangsa mengikut keperluan dan keadaan semasa.

“Semua mangsa dan petugas di PPS diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” menurut kenyataan itu.

Menurut KPWKM hujan dan amaran hujan berterusan di Pantai Timur telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi hingga 19 Dis (esok), justeru bilangan PPS dijangka bertambah pada lewat petang.

Kementerian itu turut menasihatkan orang ramai yang terjejas dalam bencana itu agar mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke tempat selamat, manakala mereka yang berada di tempat berisiko diminta sentiasa berjaga-jaga.

Bilik Gerakan JKM Kelantan boleh dihubungi melalui 09-7416925 dan Bilik Gerakan JKM Terengganu menerusi talian 09-6301193, manakala Bilik Gerakan JKM di negeri lain akan diaktifkan mengikut keperluan dan keadaan banjir semasa.

Orang ramai juga boleh menghubungi Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam sekiranya perlu serta mendapatkan maklumat terkini mengenai PPS di seluruh negara melalui aplikasi InfoBencanaJKM 2.0 yang boleh dimuat turun melalui Apple Store dan Play Store.

— BERNAMA


Pengarang :