Penduduk menggunakan perkhidmatan sampan untuk melakukan kegiatan harian berikutan kawasan kampung masih ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Tersang, Rantau Panjang pada 13 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir di Kelantan dan Terengganu makin pulih, jumlah mangsa berkurang

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Situasi banjir di Kelantan dan Terengganu semakin pulih dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan dan satu di Terengganu ditutup hari ini.

Di Sabah dan Sarawak pula melibatkan satu daerah dengan jumlah mangsa berlindung di PPS kekal sama manakala di Perak merekodkan penurunan.

Di Kelantan, sebuah PPS terakhir di jajahan Tumpat dan sebuah PPS di jajahan Pasir Mas ditutup hari ini menjadikan hanya Pasir Mas masih terjejas banjir dengan tiga PPS masih dibuka setakat 4 petang ini.

Laman sesawang infobencanajkmv2.jkm.gov.my merekodkan 209 orang mangsa banjir daripada 68 keluarga berada di tiga PPS petang ini, berbanding 718 orang mangsa daripada 246 keluarga di lima PPS pagi tadi.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Tanjong menempatkan 178 mangsa, Pusat Tarbiah Nasrullah Pohon Buloh (17) dan SK Banggol Chicha (14).

Di Terengganu jumlah mangsa banjir di Besut berkurangan kepada 53 orang daripada 12 keluarga berbanding 138 orang daripada 41 keluarga, pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan PPS Balai Raya Kampung Pantai telah ditutup 10 pagi tadi dan hanya PPS Masjid Kampung La yang masih beroperasi di daerah tersebut.

Di Perak, bilangan mangsa banjir di daerah Hilir Perak menurun sedikit kepada 50 orang membabitkan 10 keluarga setakat jam 4 petang tadi, berbanding 60 orang daripada 13 keluarga pagi tadi yang ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Rahman Talib (SMART).

Di Sabah mangsa banjir yang dipindahkan di Kota Belud kekal 135 daripada 56 keluarga dengan PPS di Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan menempatkan 62 mangsa daripada 26 keluarga dan Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa menempatkan 73 mangsa daripada 30 keluarga.

Sementara itu, jumlah penduduk di persisir pantai terutama yang tinggal di rumah atas air dipindahkan ke PPS Sandakan dan Pitas akibat fenomena air pasang besar meningkat sedikit kepada 1,471 mangsa daripada 303 keluarga petang ini berbanding 1,454 mangsa daripada 299 keluarga pagi ini.

Sarawak kekal merekodkan jumlah mangsa banjir seramai 91 orang yang ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Kampung Lutong di Sebuyau dan Dewan Serbaguna Kampung Rimba Padi di Serian.

– BERNAMA


Pengarang :