Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang meninjau keadaan sekitar susulan banjir di Kampung Ban RB, Sungai Sireh pada 23 November 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang
AGENDANASIONAL

Banjir: Dua pusat pemindahan dibuka di Selangor, tiga di Sarawak

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Sarawak dan Selangor antara negeri terbaharu terjejas banjir menyaksikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mula dibuka di kedua-dua negeri berkenaan, setakat 8 pagi ini.

Sementara itu, mangsa banjir di Perak meningkat berbanding malam tadi manakala Terengganu serta Kelantan semakin berkurangan, sebaliknya mangsa banjir di Pahang tidak berubah.

Di SARAWAK, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan sejumlah tiga PPS dibuka di negeri itu setakat 7 pagi ini, bagi menempatkan 119 mangsa banjir yang melibatkan 30 keluarga.

Menurut laporan jawatankuasa itu, kesemua PPS berkenaan terletak di bahagian Kuching, dengan dua daripadanya mula beroperasi sejak awal pagi tadi.

PPS terlibat ialah PPS Dewan Kampung Bedaun dan PPS Balai Raya Kampung Jugan yang masing-masing menempatkan seramai 75 dan 40 mangsa manakala PPS Balai Raya Kampung Opar hanya menempatkan empat mangsa.

Di SELANGOR, Sekretariat JPBN Selangor memaklumkan dua PPS dibuka sejak malam tadi iaitu SK Merbau Sempak, Shah Alam membabitkan 20 mangsa dan Dewan MPKS Desa Coalfield, Kuala Selangor melibatkan 34 mangsa.

Di PERAK, mangsa banjir meningkat kepada 50 orang daripada 17 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 41 orang daripada 15 keluarga di dua daerah pada malam tadi.

Jurucakap Sekretariat JPBN berkata PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abd Rahman Talib (SMART) yang dibuka buat kali keenam sejak bulan lepas, menempatkan 24 mangsa daripada lima keluarga dari Kampung Batu 7 Changkat Jong, Hilir Perak setakat semalam.

Sementara PPS SK Sungai Tiang Darat di Bagan Datuk tiada perubahan apabila seramai 26 orang daripada 12 keluarga kekal berlindung di PPS itu.

Menurut jurucakap itu, paras air Sungai Bidor di Changkat Jong, Hilir Perak masih melepasi paras amaran iaitu 3.26 meter (m) ketika ini dan hujan dilaporkan di kebanyakan kawasan.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 25,895 orang berbanding 27,396 orang malam tadi.

Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 6,844 keluarga ditempatkan di 181 PPS di kesemua lapan daerah di negeri itu.

Daerah Kemaman mencatatkan seramai 5,439 mangsa; Dungun 5,201 mangsa; Besut 4,309 mangsa; Hulu Terengganu 3,567 mangsa; Kuala Nerus 3,561 mangsa; Kuala Terengganu 2,503 mangsa; Setiu 1,118 mangsa; manakala Marang 197 mangsa.

Di KELANTAN seramai 24,297 mangsa banjir daripada 7,623 keluarga berlindung di PPS pagi ini, berkurang berbanding 24,690 orang daripada 7,709 keluarga malam tadi.

Sekretariat JPBN memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan 75 PPS di sembilan jajahan membabitkan Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Puteh, Kota Bharu, Bachok, dan Tumpat, Jeli dan Machang.

Di PAHANG, rekod Sekretariat JPBN pagi ini menunjukkan angka mangsa banjir kekal 23 orang daripada enam keluarga di satu PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Ular, Kuantan.

Jabatan Pengairan dan Saliran pula melaporkan paras air Sungai Keratong, Rompin dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran serta Paloh Hinai, Pekan turut kekal melepasi tahap amaran.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Segamat kekal 46 orang.

JPBN memaklumkan dua PPS masih dibuka di daerah itu melibatkan seramai 34 orang di Balai Raya Kampung Batu Badak dan 12 orang di Dewan Komuniti Kampung Tasek.

“Kesemua mangsa daripada 14 keluarga itu adalah penduduk dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 Segamat,” menurut jawatankuasa itu dalam kenyataan, hari ini.

Data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan lima sungai di negeri ini berada pada aras waspada iaitu Sungai Muar (Buloh Kasap) dengan ketinggian 8.40 m; Sungai Muar (Kampung Awat) 18.97 m; Sungai Sembrong (Empangan Sembrong) pada 10.04 m; Sungai Ayer Hitam (Kampung Paya Embun) pada 4.77 m dan Sungai Endau (Kampung Labong) pada 1.29 m.

Sementara itu, cuaca dilaporkan hujan di Johor Bahru, Muar, Mersing, Pontian, Segamat, Kluang dan Batu Pahat; manakala cuaca cerah di Kota Tinggi, Tangkak serta Kulai.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :