Kejadian banjir kilat di Kilometer 393, dari arah Ajil ke Kuantan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) surut sepenuhnya sekitar jam 12.30 tengah hari pada 18 Disember 2022. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Banjir lumpur di LPT2, pengguna diminta patuh arahan keselamatan

SHAH ALAM, 18 DIS: Pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) diminta memandu dengan cermat susulan insiden banjir lumpur di kilometer 393 (arah selatan) antara laluan Ajil ke Bukit Besi lebuh raya itu hari ini.

Syarikat konsesi itu menerusi Facebook memaklumkan laluan kontra telah diaktifkan dan pengguna diminta mematuhi arahan pengawal serta papan tanda di tempat kejadian.

“Sila rancang perjalanan anda dan patuhi arahan pengawal/papan tanda trafik di lokasi. Pandu cermat dan terima kasih atas kerjasama anda,”maklum syarikat itu.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu DSP Hasmeera Hassan berkata kepada Bernama, kejadian kira-kira jam 11 pagi itu dipercayai berpunca daripada limpahan air cerun berhampiran lokasi berkenaan.

Menurut beliau, tiada kemalangan atau kejadian tidak diingini berlaku disebabkan insiden tersebut dan jalan di kedua-dua arah masih boleh dilalui kenderaan seperti biasa.

“Air limpahan telah pun surut sekitar 12.30 tengah hari tadi. Tiada penutupan jalan dan masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan di kedua-dua arah,” katanya.

Pagi tadi rakaman limpahan air dari cerun dekat LPT2 tular di media sosial.

Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan memberi amaran mengenai beberapa kawasan di daerah Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman yang dijangka dilanda banjir mulai hari ini berdasarkan simulasi model ramalan banjir JPS.

 


Pengarang :