Keadaan semasa paras air Sungai Golok yang menunjukkan trend menurun daripada bacaan 9.66 meter kepada 9.53 meter berbanding semalam walaupun masih diparas bahaya ketika tinjauan di Rantau Panjang, Kelantan pada 12 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Banjir makin buruk, zon bebas cukai Rantau Panjang ditutup

PASIR MAS, 19 DIS: Operasi perniagaan di zon bebas cukai Rantau Panjang ditutup sepenuhnya, berikutan keseluruhan pekan itu dinaiki air sedalam 0.3 sehingga 0.5 meter berikutan hujan lebat berterusan dan limpahan air Sungai Golok, sejak semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Anwar Abu Bakar berkata pihaknya terus membuat pemantauan dan tinjauan secara berkala, bagi memastikan keselamatan penduduk di pekan Rantau Panjang.

“Jika hujan berterusan, paras air di pekan Rantau Panjang dijangka lebih tinggi, namun kita harapkan agar cuaca kembali baik dan bah reda dengan cepat.

“Mengikut laporan yang diterima, ketiga-tiga pintu masuk utama ke pekan digenangi air sejak malam tadi dan hanya kenderaan berat sahaja yang boleh melalui jalan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai misi menyelamat mangsa banjir, di sini hari ini.

Anwar berkata setakat ini sebahagian besar mangsa banjir di kawasan kritikal sudah selamat dipindahkan ke tempat yang lebih selamat dan pusat pemindahan sementara yang berhampiran mereka.

“Kerjasama dengan agensi keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) turut melancarkan operasi banjir kali,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :