Kenderaan terpaksa mengharungi banjir untuk ke Rantau Panjang berikutan limpahan air Sungai Golok ketika tinjauan Bernama pada 3 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Banjir selatan Thailand jejas lebih 64,000 penduduk

BANGKOK, 20 DIS: Hujan lebat berterusan sejak Ahad menyebabkan sembilan wilayah ditenggelami air, menjejaskan lebih 64,000 isi rumah di selatan Thailand.

Jabatan Mitigasi dan Pencegahan Bencana (DDPM) dalam satu kenyataan memaklumkan 66 daerah di sembilan wilayah – Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat – masih dinaiki air.

“Monsun timur laut yang kuat merentasi Teluk Thailand dan Laut Andaman telah menyebabkan hujan berterusan serta air sungai melimpah, banjir dan banjir kilat di kebanyakan kawasan.

“Sehingga kini, sejumlah 64,626 isi rumah di 1,425 kampung di sembilan wilayah dilanda banjir sejak Ahad,” menurut DDPM sambil menambah paras air di beberapa kawasan mulai surut.

DDPM bersama dengan agensi berkaitan akan mula menyelaraskan gerakan untuk memulakan kerja-kerja pembersihan pasca banjir.

Sementara itu, Gabenor Narathiwat Sanan Pongaksorn berkata Sungai Kolok melimpah dan menenggelami banyak kawasan rendah.

“Sebanyak 29,113 isi rumah di Narathiwat yang bersempadan dengan Kelantan turut terjas akibat banjir,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Imigresen Kelantan di halaman Facebooknya mengumumkan mengenai penutupan sementara Kompleks Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang- Sungai Kolok dan Pangkalan Kubor- Tak Bai kerana banjir.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan bila kemudahan itu akan dibuka semula.

-BERNAMA


Pengarang :