Pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalankan kerja pembersihan di salah satu pencawang elektrik yang terjejas akibat banjir di Kuala Terengganu, Terengganu pada 21 Disember 2022. Foto TNB CARELINE
AGENDANASIONAL

Banjir: TNB utamakan keselamatan orang ramai, pekerja urus bekalan elektrik

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Tenaga Nasional Bhd (TNB) sentiasa mengutamakan keselamatan orang ramai dan warga kerjanya dalam menguruskan bekalan elektrik di kawasan yang dilanda banjir termasuk memutuskan bekalan dengan segera berdasarkan keperluan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Baharin Din berkata langkah berkenaan juga adalah untuk meminimumkan kerosakan pepasangan TNB dan memastikan pengurusan bekalan tenaga teratur serta berkesan demi kepentingan orang awam.

“Penutupan pencawang elektrik ketika banjir dilakukan demi keselamatan pengguna dan pekerja TNB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baharin berkata TNB turut memberikan bekalan elektrik melalui set janakuasa mudah alih di pusat pemindahan sementara (PPS) yang tidak menerima bekalan daripada pencawang.

Beliau berkata TNB juga telah membuka bilik gerakan di negeri-negeri dilanda banjir untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik, dengan warga kerjanya ditugaskan melakukan kerja-kerja segera di kawasan berlaku gangguan akibat bencana berkenaan.

“TNB tidak berkompromi terhadap keselamatan pengguna dan warga kerjanya dalam proses pemulihan bekalan selepas banjir surut bagi mengelak kemungkinan risiko percikan arka (flash over) dan renjatan elektrik,” katanya.

Menurut Baharin, TNB telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) berkenaan penyediaan bantuan logistik di lokasi-lokasi yang sering dilanda banjir termasuk 296 set janakuasa bergerak, 227 set janakuasa kecil mudah alih 5kW/2.5kW, 279 buah lori, 38 buah bot dan 108 lampu limpah.

“Setakat 19 Disember, sejumlah 238 daripada 258 PPS yang sebahagian besarnya di Terengganu dan Kelantan telah mendapat bekalan elektrik dan TNB sedang berusaha menghantar set janakuasa mudah alih kepada 20 lagi PPS yang sukar diakses oleh laluan darat,” katanya.

Kenyataan TNB itu turut menasihatkan orang ramai agar menjauhkan diri daripada menghampiri tiang elektrik, pepasangan elektrik dan kabel elektrik termasuk yang bersalut dengan penebat yang ditenggelami air.

Setelah banjir surut, pengguna disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan ST bagi memeriksa pendawaian di dalam premis mereka yang dinaiki air.

– BERNAMA


Pengarang :