EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Penerima Cemerlang Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan 2022 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 3 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Bantuan Blueprint ditambah baik, pastikan lebih ramai jana pendapatan

SHAH ALAM, 3 DIS: Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan ditambah baik tahun ini bagi membantu lebih ramai penduduk mendapat taraf hidup yang baik.

EXCO pembangunan sosio ekonomi berkata antaranya meningkatkan had siling bantuan kepada RM10,000 selain syarat kelayakan pemohon diperluas kepada individu berpendapatan bawah RM3,000.

Jelas V Ganabatirau pihaknya turut giat mempromosikan insentif yang terkandung dalam Iltizam Selangor Penyanyang dengan terbaharu melancarkan logo bagi menarik perhatian ramai.

“Lebih banyak perancangan bakal dilaksana tahun depan bertujuan mempopularkan program ini supaya lebih dikenali rakyat Selangor.

“Saya bangga apabila ada penerima bantuan menjana pendapatan sehingga RM20,000 sebulan. Ada juga mampu membuka cawangan baharu dan menggaji pekerja malah berjaya membina kilang,” katanya ketika berucap pada Majlis Himpunan Usahawan Selangor di sini hari ini.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail merasmikan laman sesawang baharu Platform Selangor (Plats) pada Majlis Penyampaian Anugerah Penerima Cemerlang Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan 2022 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 3 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Berlangsung di Dataran Kemerdekaan, program dua hari sehingga esok sempena Karnival Usahawan Selangor 2022 itu dirasmikan EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail.

Program julung kali itu disertai lebih 100 peniaga dan penjaja kecil turut menganjurkan beberapa kegiatan menarik termasuklah belon udara panas, gerai jualan mainan, dan melukis wajah (face painting).

Program anjuran bersama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI turut menyediakan pawagam terbuka antara jam 8 hingga 10 malam.

Belanjawan Selangor 2023 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar pada 25 November memperuntukkan RM2 juta bagi meneruskan program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan berbentuk peralatan atau mesin itu diwujudkan khusus untuk membantu golongan dalam kalangan penjaja, peniaga atau yang bekerja sendiri di negeri ini.

Orang ramai hadir pada program Karnival Usahawan Selangor (KAWAN) 2022 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 3 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :