Pengunjung tertarik dengan model rumah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Ekspo Hartanah Malaysia Shah Alam/Kuala Selangor di Central i-City, Shah Alam pada 12 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Bantuan deposit mudahkan warga Selangor miliki rumah pertama

SHAH ALAM, 21 DIS: Dana pinjaman perumahan yang diperkenal Kerajaan Negeri memudahkan urusan orang ramai untuk membeli atau memiliki rumah pertama di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif dengan peruntukan RM100 juta membantu rakyat Selangor menyelesaikan isu deposit yang sering dihadapi.

“Skim Bantuan Biaya Rumah Selangor adalah dana pinjaman yang diperkenalkan untuk memudahkan urusan pembiayaan perumahan bagi pembeli pertama di Selangor.

“Inisiatif ini bakal menyelesaikan isu deposit yang kerap menjadi batu penghalang pembelian rumah pertama,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook hari ini.

Amirudin ketika membentangkan Belanjawan 2023 bulan lalu mengumumkan inisiatif deposit pembelian rumah bagi membantu lebih ramai rakyat negeri ini memiliki kediaman.

Skim pembiayaan patuh syariah yang menyediakan wang pendahuluan antara 10 hingga 15 peratus itu dijangka memanfaatkan kira-kira 4,000 pemohon.

Selain itu, bayaran bulanan juga tidak membenankan untuk tempoh lima hingga 10 tahun dan mempunyai ciri pembayaran balik yang anjal jika ingin membuat bayaran penyelesaian awal.


Pengarang :