Hafizah Othman (kanan) bersama anaknya Baihaqi Rizqi mengemas buku dan peralatan sekolah anaknya yang akan memasuki Tahun Satu ketika tinjauan pada 28 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bantuan sekolah RM150 tanpa kira had pendapatan mula diagih Januari

SHAH ALAM, 20 DIS: Bantuan RM150 akan disalurkan pada Januari tahun hadapan kepada setiap murid tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan itu memgambil kira isu generasi tercicir ekoran kemelut pandemik dan keperluan mempersiap anak-anak dengan kelengkapan sekolah yang sewajarnya.

“Selain keperluan perbelanjaan bagi Rancangan Makanan Tambahan dan buku teks, kerajaan bersetuju menyalur Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 kepada setiap murid tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa pada Januari tahun depan.

“Jika kita letak syarat hadkan pendapatan ibu bapa, wang bantuan yang disalurkan tertangguh dan tidak dapat diagih pada Januari,” katanya lagi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan kerajaan akan membentangkan semula Belanjawan 2023 yang lebih baik pada Februari depan dalam memperjuang kesejahteraan rakyat dan memperkukuh prestasi ekonomi.

Terdahulu, Dewan Rakyat hari ini meluluskan Bajet Mini 2023 dan RUU Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang dibentangkan Perdana Menteri.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul memaklumkan keputusan itu selepas tiada perbahasan bagi kedua-dua usul yang dibentangkan Anwar pada mesyuarat penggal pertama Parlimen Ke-15.


Pengarang :