Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama orang ramai pada program Jelajah Selangor Penyayang di Persiaran As Salam Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 4 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bantuan tambah baik prasarana, demi keselesaan pelajar di sekolah

Oleh DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 4 DIS: Pengurusan Sekolah Agama Menengah Tinggi Kuala Kubu Bharu akan memanfaatkan bantuan RM25,000 untuk menambahbaik prasarana demi keselesaan pelajar.

Pengetuanya Naziri Mat Isa berkata pihak sekolah akan membina kabin bagi menampung kekurangan bilik darjah.

Selain itu pihaknya turut memberi tumpuan untuk menambah kipas, membaiki bumbung, menambah baik kantin serta pendawaian elektrik.

Naziri Mat Isa

“Kita mahu sediakan persekitaran kondusif bagi pastikan pelajar dapat belajar dalam keadaan selesa.

“Bantuan ini penting untuk tambah baik kemudahan kerana kita bimbang keselamatan pelajar dan guru kerana sering berlaku masalah pintasan elektrik,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Soeharto, Mohamad Zaini Che Ros berkata sekolah itu menerima insentif RM8,000 untuk mengecat semula bangunan sekolah.

“Kita sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan. Kita mahu wujudkan suasana ceria agar semua warga sekolah seronok datang ke sekolah,” katanya.

Mohamad Zaini Che Ros

Selain dua sekolah itu, dua lagi yang turut menerima bantuan sekolah negeri Selangor ialah Sekolah Rendah Agama Serendah (RM18,000) serta Pusat Kegiatan Guru JAIS Daerah Hulu Selangor (RM10,000).

Sumbangan disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika merasmikan Jelajah Selangor Penyayang daerah Hulu Selangor di Persiaran As-Salam, Bukit Sentosa di sini hari ini.

Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor menawarkan bantuan membaik pulih infrastruktur mahupun membiayai pembinaan struktur baru.

Program bertujuan membantu mengekalkan dan menambah baik prasarana sekolah kerajaan dan swasta di Selangor dengan pemberian insentif sehingga RM50,000.


Pengarang :