Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari ketika tinjauan tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Disember 2022. Ketika ini operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan pasukan penyelamat antaranya melibatkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM). Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Bantuan untuk waris korban, mangsa tanah runtuh disalur secepat mungkin

SHAH ALAM, 17 DIS: Bantuan segera kepada waris mangsa korban serta mangsa lain yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh Batang Kali akan disalur secepat mungkin.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi akan diselaras oleh Kerajaan Negeri.

“Dengan pengumuman YB PM tadi, Kerajaan Selangor rakam penghargaan di atas peruntukan untuk disalurkan kepada mangsa tragedi tanah runtuh.

“Bantuan ini akan disalur secepat mungkin. Semoga ia akan dapat meringankan beban mangsa dan keluarga,” katanya menerusi Facebook.

Malam tadi, Anwar mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia dan RM1,000 Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada ketua isi rumah mangsa yang tidak melibatkan kes kematian.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan menyalur peruntukan kepada Kerajaan Negeri untuk diagih kepada mangsa.

Setakat malam tadi, 12 orang masih dilaporkan hilang manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu.


Pengarang :