Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bekalan air di 472 kawasan terjejas pulih sepenuhnya 12 tengah malam tadi

SHAH ALAM, 27 DIS: Bekalan air melibatkan 472 kawasan di lima wilayah terjejas akibat henti tugas dua logi rawatan air (LRA) sejak 24 Disember pulih sepenuhnya pada 12.00 tengah malam tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Pada 24 Disember lalu, LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas akibat dari tumpahan pati minyak wangi daripada kemalangan lori membawa muatan itu di Lebuhraya ELITE berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan.

Tumpahan 1,000 liter pati minyak wangi tersebut menyebabkan pencemaran bau dan LRA terbabit terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Berikutan insiden pencemaran bau itu menyebabkan 472 kawasan di lima wilayah iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :