Penduduk mengambil bantuan bekalan air yang disediakan Air Selangor. Foto Facebook Air Selangor
AGENDANASIONAL

Bekalan air Kuala Langat, Putrajaya pulih, tiga daerah lagi lebih 70 peratus

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 26 DIS: Kira-kira 86 peratus bekalan air telah pulih di 472 kawasan membabitkan lima wilayah terjejas akibat henti tugas dua loji rawatan air (LRA) setakat 12 tengah hari tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata Kuala Langat dan Putrajaya mencatat pemulihan 100 peratus diikuti Sepang (95 peratus), Hulu Langat (91 peratus) dan Petaling (71 peratus).

“Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Air Selangor berharap agar pengguna yang mendapat bekalan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan lain berjalan seperti dijadualkan,” katanya.

Kelmarin, LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas akibat dari tumpahan pati minyak wangi daripada kemalangan lori membawa muatan itu di Lebuhraya ELITE berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan.

Tumpahan 1,000 liter pati minyak wangi tersebut menyebabkan pencemaran bau dan LRA terbabit terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Berikutan insiden pencemaran bau itu menyebabkan 472 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

 


Pengarang :