Pengguna mengambil bekalan air pili awam yang disediakan Air Selangor (gambar hiasan). Foto Facebook Air Selangor.
AGENDANASIONAL

Bekalan air lokasi Kuala Langat hampir pulih, tiga lagi daerah lebih separuh

SHAH ALAM, 26 DIS: Empat daerah terlibat henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi menerima bekalan air secara berperingkat sejak malam tadi.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) berkata setakat jam 6 pagi Kuala Langat mencatat peratus pemulihan bekalan air paling tinggi dengan 93 peratus, diikuti Hulu Langat (83 peratus), Petaling (54 peratus) dan Sepang (51 peratus). (rujuk kawasan di lampiran).

Menurut agensi itu, tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Air Selangor berharap agar pengguna yang mendapat bekalan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan lain berjalan seperti dijadualkan,” menurut kenyataan.

Kelmarin, LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dihenti tugas akibat dari tumpahan pati minyak wangi daripada kemalangan lori membawa muatan itu di Lebuhraya ELITE berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan.

Tumpahan 1,000 liter pati minyak wangi tersebut menyebabkan pencemaran bau dan LRA terbabit terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Berikutan insiden pencemaran bau itu menyebabkan 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :