PENDAPATRENCANA

Bekalan buruh, ringgit lemah terus jejaskan sektor binaan pascapandemik

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Kekurangan tenaga kerja, kenaikan kos bahan mentah dan kadar faedah di tengah-tengah kelemahan ringgit terus memberi kesan kepada sektor pembinaan tempatan walaupun ekonomi sedang memulih selepas pandemik.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid berkata siri kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh bank pusat Malaysia telah menjejaskan industri.

“OPR yang lebih tinggi bermakna kos pinjaman akan menjadi lebih mahal untuk pengguna termasuk kontraktor. Bank-bank akan menyemak semula kos berikutan kenaikan OPR oleh Bank Negara Malaysia (BNM), menyebabkan kadar faedah yang lebih tinggi bagi perniagaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kos yang lebih tinggi boleh mengehadkan akses komersial kepada modal.

Pada 4 Nov lepas, BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.75 peratus, peningkatan keempat berturut-turut sejak Mei tahun ini.

Kekurangan buruh

Ahmad Asri memberitahu kemasukan ke peringkat endemik telah menyebabkan lonjakan dalam aktiviti pembinaan kerana semua tapak pembinaan boleh beroperasi tanpa tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

“(Bagaimanapun), industri pembinaan masih mempunyai anggaran kekurangan kira-kira 400,000 pekerja setakat ini, yang mana CIDB bekerjasama rapat dengan persatuan industri dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk memudahkan penyelesaian isu ini.

“Majlis Pemulihan Negara (MPN) baru-baru ini menggesa isu kekurangan pekerja asing diselesaikan segera, dengan ketibaan pekerja asing ke Malaysia mencatatkan kurang daripada levi yang telah dibayar pada RM713,890 untuk kuota yang diluluskan iaitu 467,223 orang.

Malaysia terus berdepan kekurangan tenaga kerja, kenaikan kos bahan mentah dan kadar faedah di tengah-tengah kelemahan ringgit walaupun ekonomi sedang memulih selepas pandemik. Foto ARKIB SELANGORKINI

Ketua Pegawai Eksekutif MPN Tan Sri Sulaiman Mahbob berkata pada 31 Oktober, data pembayaran levi serta kelulusan kuota setakat 12 September lalu menunjukkan kuota yang diluluskan seramai 467,223 pekerja. Bagaimanapun, hanya 76,000 yang tiba dari 12 negara direkodkan bagi tempoh yang sama.

“Kami mendapati ramai pekerja memohon dan membuat pembayaran, tetapi yang tiba sangat kurang. Persoalannya, mengapa mereka tidak datang?

“Adakah ini melibatkan masalah negara mereka atau sebab-sebab lain? Perkara ini perlu diberi penekanan, jika tidak, sektor pertanian terutama kelapa sawit akan terus terjejas,” katanya.

Tambah beliau, industri berintensifkan buruh seperti pembuatan, pelancongan, pembinaan, peruncitan, elektronik dan pertanian turut menerima kesan akibat kekurangan tenaga kerja.

Dampak mata wang

Ahmad Asri berkata ringgit lemah berbanding dolar US sejak Mac, daripada paras bawah RM4.20 kepada RM4.72 menjelang Oktober, menyebabkan harga barangan dan bahan import menjadi lebih tinggi.

“Mata wang domestik yang lemah bermakna harga barangan asing secara amnya akan meningkat. Antara bahan binaan yang terjejas ialah simen dan keluli.

“Harga komponen mekanikal dan elektrikal (M&E) juga melonjak akibat banyak komponen M&E diimport dari Amerika Syarikat.

“Kami berharap keadaan akan bertambah baik dengan pengukuhan mata wang pada masa akan datang,” katanya.

Mata wang tempatan berada pada trajektori menurun berbanding dolar US sejak awal tahun ini, didorong oleh kelemahan prospek ekonomi global termasuk kebimbangan terhadap kestabilan politik domestik.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, ringgit telah mula mengaut keuntungan berbanding dolar US. Ia menokok kepada RM4.40 berbanding dolar US pada 1 Dis lepas.

Melangkah ke hadapan, Ahmad Asri berkata prestasi sektor pembinaan dijangka “sentiasa berterusan” bagi tempoh dua tahun akan datang.

“Industri pembinaan masih dalam proses pemulihan daripada pandemik.

“Antara cabaran utama ialah kenaikan harga beberapa bahan binaan, kekurangan pekerja, kenaikan gaji minimum pekerja, selain kos penempatan mereka dan isu aliran tunai yang dihadapi kontraktor.

“Kami berharap untuk melihat lebih banyak peruntukan disediakan bagi pembangunan infrastruktur dan projek pembinaan lain dalam memastikan pertumbuhan industri pembinaan kerana ia akan menjadi pemangkin pertumbuhan banyak sektor ekonomi lain,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :