Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2023 dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 25 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA PENDAPAT PILIHAN MINGGUAN RENCANA

Belanjawan Selangor 2023 berdaya rakyat, depani krisis ekonomi

SHAH ALAM, 5 DIS: Belanjawan untuk tahun ini juga mengukuhkan agenda kesihatan awam Selangor di bawah kerangka baharu kesemua 44 program pemberdayaan rakyat iaitu Iltizam Selangor Penyayang.

Tahun ini juga, Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang membentangkan suatu rancangan jangka sederhana bagi tempoh lima tahun untuk merancang dan mengkoordinasi pembangunan sosioekonomi berimpak tinggi iaitu Rancangan Selangor Pertama. Dokumen itu diluluskan sebulat suara di dalam dewan yang mulia ini.

Dan pada detik saya berdiri di sini petang yang amat mulia ini, negeri kita baru melalui proses
pilihan raya umum yang melihat pertembungan antara tiga gabungan untuk membentuk kerajaan
persekutuan.

Sejurus pilihan raya umum ke-15 selesai, negara kita berada pada titik persimpangan antara dua persimpangan yang amat berbeza.

Di satu persimpangan, pilihan yang mampu mengubah fabrik sosial masyarakat kita dengan memanipulasi paranoia dan kebencian.

Grafik Media Selangor

Yang kedua pula, pimpinan negara boleh memilih untuk membawa Malaysia ke hadapan dengan fokus kepada kekuatan masing-masing serta mencari titik persamaan yang mampu memulakan proses memulihkan negara kita, memulakan proses rekonsiliasi nasional.

Ini mengingatkan saya kepada cabaran yang merungsingkan Robert Frost apabila dia menukilkan sajaknya, “The Road Not Taken” pada tahun 1915 sewaktu Perang Dunia pertama.

Dengan menggunakan contoh seorang pengembara yang berada di persimpangan, Frost menulis “Two roads diverged in a wood, and I— I took the one less traveled by, And that has made all the difference.”

Sebagai pemimpin masyarakat dan pemimpin negara, kita berada di persimpangan jalan hampir serupa, dan pilihan yang hanya mampu diambil oleh negarawan.

Alhamdulillah, tuan speaker, saya bersyukur, dan saya percaya ramai lagi rakyat Malaysia yang
bersyukur bahawa pilihan kedua ini menjadi jalan yang mengeluarkan negara ini daripada ketegangan dan jalan buntu yang telah kita lihat.

Tiga krisis

Pendekatan yang memberi fokus kepada pentadbiran secara kolektif adalah yang diingini oleh seluruh warga Malaysia pada ketika ini.

Negara kita bakal menghadapi cabaran besar pada tahun hadapan. Badan-badan antarabangsa menjangka kemelesetan bakal tiba serta inflasi yang semakin mencabar.

Dunia kini sedang bergelut dengan tiga krisis yang bersaling kait; jangkaan kemelesetan ekonomi pada tahun hadapan, kesan geopolitik peperangan di Ukraine yang masih berterusan, serta gangguan rantaian bekalan yang disebabkan oleh dasar menangani pandemik di negara China.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa, pertumbuhan ekonomi dunia pada tahun hadapan dianggar akan mencatat pengurangan berbanding tahun ini iaitu daripada 3.2 peratus pada tahun ini kepada 2.7 peratus pada tahun 2023.

Satu pertiga daripada ekonomi dunia dijangka akan mengalami pertumbuhan negatif pada dua suku pertama tahun depan. Situasi ini bermaksud akan berlakunya kemelesetan terutamanya di negara-negara yang terlalu bergantung kepada sumber makanan bijirin di Ukraine serta bahanbahan pembuatan di China.

Situasi pertumbuhan ekonomi ini adalah pertumbuhan yang paling lemah sejak tahun 2001, pasca Krisis Kewangan Asia pada tahun 1998.

Anggota polis melakukan sekatan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan berhadapan Bangunan Majlis Perbandaran Klang (MPK), Klang pada hari ketiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan Covid-19 pada 20 MAC 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Ekonomi Malaysia telah terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan yang dikenakan bagi menghentikan penularan wabak Covid-19. Hampir semua sektor ekonomi Malaysia dan pelaburan asing menerima kesannya yang menyaksikan sebilangan rakyat Malaysia mengalami
pengurangan pendapatan atau kehilangan pekerjaan.

Selain itu, Malaysia juga tidak terkecuali menerima impak langsung dari krisis-krisis global ketika ini. Isu ini merupakan fenomena antarabangsa berikutan hampir semua mata wang negara pesat membangun mengalami kejatuhan berbanding Dollar AS. Sifat pasaran mata wang sememangnya sangat meruap dan banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran seperti kadar faedah di AS yang dijangka naik.

Kelemahan ringgit kepada dolar Amerika sebahagiannya disebabkan oleh pelabur mengambil kira kenaikan kadar yang lebih besar oleh Rizab Persekutuan AS, lebih-lebih lagi dengan inflasi di AS mencecah setinggi 8.5 peratus baru-baru ini. Kadar faedah yang lebih tinggi akan mengurangkan jumlah wang dalam edaran dan meningkatkan inflasi. Mata wang Malaysia yang lemah akan mengakibatkan harga import yang lebih tinggi, membebankan keduadua pengguna dan pengimport.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras suku kedua 2022 dilaporkan meningkat, masing-masing sebanyak 2.8 dan 2.5 peratus. Berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia, bagi 2022, inflasi keseluruhan dan teras juga dijangka mencatatkan purata lebih tinggi, hampir kepada julat antara 2.0 hingga 3.0 peratus.

Sebahagian besar daripada kadar tersebut disumbangkan oleh indeks makanan yang meningkat 6.1 peratus dan kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi pada bulan Jun 2022.

Atasi pertumbuhan nasional Selain itu juga, semua kumpulan lain kecuali komunikasi turut merekodkan peningkatan dan mendorong kepada inflasi keseluruhan namun, kadar inflasi di negara ini masih terendah di Asia Tenggara.

Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2021 dengan sumbangan sebanyak 24.8 peratus.

Kestabilan melalui pengukuhan aspek tadbir urus menghasilkan perkhidmatan yang efisien dan polisi yang efektif dapat dibuktikan menerusi pencapaian yang diperoleh sehingga kini.

Selangor antara negeri yang kekal mendahului negeri lain di Malaysia dengan nilai KDNK berjumlah RM343.5 bilion pada 2021 berbanding RM327.1 bilion pada tahun 2020. Nilai tersebut meningkat ke 5.0 peratus pada 2021 berbanding -5.2 peratus pada 2020 sekali gus telah melepasi paras pertumbuhan nasional yang mencatat sebanyak 3.1 peratus.

Sumbangan utama diterajui oleh sektor perkhidmatan dengan sumbangan sebanyak 59.5 peratus, diikuti oleh sektor pembuatan yang menyumbang sebanyak 31.4 peratus dan sektor pembinaan sebanyak 5.1 peratus. Sementara itu, sektor pertanian dan perlombongan dan pengkuarian masing-masing menyumbang 1.5 peratus dan 0.2 peratus.

Dengan adanya usaha seperti Rancangan Selangor Pertama tahun ini, keupayaan tadbir urus mampu memberi keyakinan kepada pelabur supaya dapat mencipta peluang-peluang pekerjaan baharu dengan gaji yang setimpal khususnya bagi warga Selangor.

Sedutan ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan
Selangor 2023 pada 25 November.


Pengarang :