Peserta bengkel catan remaja (The Starry Night dan Semangat Ledang) bersama bersama Rais Azmi menunjukkan karya masing-masing pada 21 Disember 2022. Foto Facebook Galeri Shah Alam
BERITA UTAMASELANGOR

Bengkel seni di Galeri Shah Alam ketika cuti sekolah dapat sambutan

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 30 DIS: Tiga bengkel seni anjuran Galeri Shah Alam sempena cuti sekolah mulai 20 Disember lalu mendapat penyertaan luar biasa.

Penolong kurator berkata bengkel seramik dan catan yang menyediakan 20 slot habis ditempah dalam masa tiga hari sebaik penyertaan dibuka.

“Penyertaan bengkel catan kanak-kanak (The Starry Night dan Dreamy Skies) habis ditempah sehari selepas dibuka. Manakala bengkel catan remaja (The Starry Night dan Semangat Ledang) habis dalam tempoh dua hari.

“Bagi bengkel seramik pula, kita buka penyertaan untuk semua peringkat usia habis dalam masa tiga hari,” kata Nur Syafiqah Zainal kepada Selangorkini.

Jelas beliau bengkel secara ‘outdoor’ di Taman Tasik Shah Alam itu mendapat sambutan kerana persekitaran santai dan lebih selesa selain yuran penyertaan bengkel seramik rendah.

“Yuran pendaftaran sebenarnya RM75 namun peserta hanya dikenakan bayaran sebanyak RM50 manakala baki dibiaya Galeri Shah Alam termasuk sediakan peralatan dan sarapan untuk peserta,” jelasnya.

Nur Syafiqah berkata Galeri Shah Alam merancang untuk menganjurkan lebih banyak bengkel seumpama itu tahun depan dengan sekurang-kurangnya satu bengkel setiap bulan.

“Kami bercadang mencari lokasi yang lebih besar dan selesa bagi memastikan semua peserta berpeluang mempelajari teknik seni dengan lebih baik, katanya.


Pengarang :