Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) meninjau kolam takungan yang terletak berhampiran tapak pelupusan sampah haram di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Subang Jaya pada 5 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bina ban di tapak sampah haram Taman Puncak Jalil, elak air kumbahan mengalir

SERI KEMBANGAN, 5 DIS: Kerajaan Negeri akan membina ban di kawasan tapak pelupusan sampah haram dekat Taman Puncak Jalil di sini, bagi mengelak air sisa kumbahan mengalir ke kolam berhampiran.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penyelesaian jangka pendek itu diharap mengurangkan keresahan kira-kira 10,000 penduduk sekitar termasuk Bukit Serdang 5 yang terpaksa menghidu bau busuk saban hari.

“Pusat pelupusan sampah haram ini berhenti operasi sejak dua tahun lalu, (namun) isu besar sekarang sampah yang ditinggalkan mengalirkan air dari sisa kumbahan dan meninggalkan bau busuk kepada persekitaran.

“Langkah ini perlu segera dibuat untuk mengelakkan pengaliran larut resap masuk ke kawasan air atau kolam. Dalam masa beberapa minggu, Puncak Jalil selesa sikit dan kita akan gunakan efektif mikrob (EM) untuk mengurangkan bau busuk,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan tapak bersama Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han, Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar, Pegawai Daerah Petaling Mohd Jusni Hashim dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor Nor Aziah Jaafar.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata berkata pejabat daerah dan tanah (PTD) Petaling juga akan memanggil semua 15 pemilik tanah kawasan terbabit dalam tempoh terdekat bagi membincangkan lebih lanjut tindakan susulan.

“Di peringkat awal, kita akan minta mereka untuk benarkan Worldwide Holdings Berhad masuk ke kawasan berkenaan bagi proses rawatan tanah dengan kos dianggar antara RM2 hingga RM3 juta.

“Jika mereka bersetuju, kita akan jalankan proses rawatan yang dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga bulan bergantung kepada jumlah sampah,” katanya.

Terdahulu, tinjauan Selangorkini di lokasi mendapati tapak itu membentuk seolah-olah gaung dengan aliran air hitam pekat mengalir ke beberapa kolam selain terdapat ratusan ekor anjing berkeliaran.

Kolam takungan yang terletak berhampiran tapak pelupusan sampah haram di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Subang Jaya. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :