Destinasi pelancongan bersejarah Bukit Malawati di Kuala Selangor. Foto Facebook Tourism Selangor
PBTSELANGOR

Bina tembok penahan, elak insiden pokok tumbang di Bukit Malawati berulang

SHAH ALAM, 28 DIS: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) sudah mula membina tembok penahan di tebing yang rosak akibat kejadian pokok tumbang hingga menyebabkan kejadian runtuhan tanah di pusat pelancongan Bukit Malawati, Kuala Selangor Ahad lepas.

Timbalan Setiausaha MPKS Ahmad Jamzuri Mujaini berkata tembok konkrit setinggi lima meter itu dibina sebagai langkah pembaikan semula tebing yang rosak ekoran kejadian itu, dan ia dijangka siap hujung bulan depan.

“Pihak MPKS juga akan memohon kepakaran pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pihak berkuasa tempatan lain yang mempunyai kepakaran berkaitan cerun untuk memberikan khidmat nasihat berkaitan perancangan serta pengurusan kawasan yang berbukit atau cerun,” katanya kepada Bernama.

Anggota APM Kuala Selangor menjalankan operasi membersihkan kawasan tanah runtuh di Bukit Malawati, Kuala Selangor. Foto APM Kuala Selangor

Beliau berkata semakan Jabatan Landskap MPKS terhadap insiden di Bukit Malawati itu mendapati keadaan akar pokok yang tumbuh di kawasan bukit berbatu menyebabkan struktur akar tidak dapat mencengkam dengan kuat, dan menyebabkan ia tumbang.

Pusat pelancongan Bukit Malawati itu dilaporkan ditutup sementara sejak semalam bagi perlaksanaan kerja-kerja pembaikan runtuhan tanah oleh MPKS. – BERNAMA


Pengarang :